PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas lebih setengah kilogram dadah jenis syabu dalam satu serbuan di daerah Penampang pada 24 November lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan menemui tujuh paket plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 552.60 gram
“Nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM17,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian air kencing turut mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Supt. Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi penyalahgunaan dadah serta segera menyalurkan maklumat kepada polis jika mengetahui sebarang aktiviti jenayah atau pengedaran dadah.



