OLEH ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki tempatan yang dikhuatiri lemas di Sungai Kagibangan, Bitoon pada Ahad lalu memasuki hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi hari ini berkata, operasi SAR diteruskan bagi menyambung usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
“Operasi hari kedua bersambung dengan menjalankan operasi pencarian “Surface Searching” , dari Lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang sehingga jarak 10km sepanjang sungai Kogibangan.
“Selain anggota bomba dari BBP Ranau, operasi SAR itu turut disertai anggota PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung. Dua buah bot milik penduduk kampung turut digunakan,” katanya.
-Ridwan Mohd Taib-
Ahad lepas, seorang lelaki tempatan dikhuatiri lemas apabila dilaporkan tidak pulang ke rumah setelah keluar menangkap ikan di Sungai Kagibangan dekat Kampung Bitoon di sini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam satu kenyatan pada Isnin berkata, daripada laporan awal diterima pihaknya, mangsa dikenali Junaidi Jaukan, 32 tahun.
Mangsa dikatakan keluar berseorangan ke sungai tersebut untuk menangkap ikan namun tidak pulang ke rumah selepas itu, menyebabkan keluarganya bimbang lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah Ranau.
“BBP Ranau menerima panggilan kecemasan melalui talian balai kira-kira jam10.15 pagi Isnin mengenai kejadian itu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan empat anggota bomba dari BBP Ranau diketuai PBKII, Mastin Suli, dikerah ke tempat kejadian melalui jarak lebih 50 kilometer menaiki sebuah jentera dan kenderaan utiliti.
“Tiba di lokasi kejadian, anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam radius 2 km menggunakan kaedah ‘surface searching’ di sepanjang sungai Kagibangan.
“Bagaimanapun, sehingga pukul 5 petang pada Isnin, mangsa belum dijumpai. Pada masa sama, operasi SAR terpaksa ditangguhkan disebabkan cuaca semakin gelap dan disambung semula pada pagi Selasa,” jelas kenayataan itu.
Menurut ahli keluarga mangsa, kali terakhir mangsa dilihat keluar rumah pada pukul 3 petang, 05 Januari, berpakain kemaja t-shirt warna putih dan seluar biru.-TAMAT-