LENGKAP…Airine sudah menerima dos Penggalak.
RANAU: “Seperti orang lain pada awalnya saya juga berasa takut menerima vaksin sejak mulanya arahan pihak berkuasa kepada semua lapisan masyarakat supaya menerima imunisasi vaksin untuk mengekang jangkitan Covid-19.
“Akan tetapi selepas melihat semua barisan hadapan termasuk para pemimpin negara sudah menerima hingga suntikan kedua maka hati saya mula berkeyakinan terhadap keberkesanan, keperluan dan kepentingan untuk divaksin bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang berbahaya itu kepada manusia”, kata salah seorang penerima suntikan Dos Penggalak (Booster), Airine Abidin anak ketiga daripada lima beradik kelahiran daerah Telupid.
Airine yang bertugas sebagai Jururawat di salah sebuah klinik swasta pekan Ranau ketika ditemui selepas bersama lebih 90 orang penerima suntikan dos Penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Ranau pagi tadi, berasa gembira kerana sudah melengkapkan suntikan Penggalak lebih awal bersama rakan-rakannya yang lain selepas genap enam bulan menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer.
Menurut Airine, semua orang yang genap enam bulan menerima vaksin kedua terutama mereka yang bertugas di barisan hadapan seperti Petugas Kesihatan, PDRM, Rela, APM, Imigeresen, para Sukarelawan, warga emas dan mereka yang berisiko tinggi adalah perlu untuk menerima suntikan dos Penggalak bagi membolehkan imun dalam tubuh badan mereka yang dikatakan menurun selepas enam bulan suntikan kedua mampu kukuh semula serta berupaya menjadi benteng diri daripada jangkitan penularan Covid-19.
“Bagaimanapun, difahamkan untuk menerima vaksin dos Penggalak itu, bukanlah suatu paksaan namun banyak kebaikannya daripada tidak menerimanya”, tambah Airine.
Menurutnya lagi meskipun sudah lengkap dos Penggalak, mereka tetap mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sebagai perisai diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan Covid-19.
“Kita Jaga Kita,
Keluarga, Komuniti atau Lindung Diri Lindung Semua”, tegas Airine.