Elmariah menerima sumbangan 10,000 risalah daripada Mohd Yasser di majlis itu
KOTA KINABALU: Berdasarkan statistik penyalahguna dan penagih dadah serta bahan, seramai 9,207 orang penyalahguna dan penagih dadah serta bahan telah dikesan di seluruh negeri Sabah pada tahun 2024.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah Elmariah Chung, berkata, statistik berkenaan turut mendedahkan bahawa seramai 65.8 peratus yang terlibat terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 39 tahun.
“Bilangan ini sering menjadi kegusaran kepada kita semua apabila golongan muda dan belia mempelopori bilangan terlibat tertinggi, walhal mereka adalah pewaris kepada teraju masa depan negara.
“Cabaran dalam menangani penyalahgunaan dan penagihan dadah semakin hari semakin kompleks. Antara cabaran yang dihadapi ialah kewujudan jenis-jenis dadah New psychoactive substance (NPS) yang baharu, penyalahgunaan bahan seperti Ketum, vape dan sebagainya.
“Oleh yang demikian, Sukarelawan Antidadah melalui Skuad Antidadah, Ikon Antidadah dan JKPD diwujudkan untuk berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan khususnya AADK serta agen pencegahan (Skuad dan Ikon) dan agen pemulihan iaitu Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD),” katanya.
Menurut beliau, peranan sukarelawan ini amat penting bagi memastikan usaha-usaha pencegahan dan pemulihan dapat diperkasakan melalui garapan idea dan komitmen bersama.
“Dalam mendepani isu penyalahgunaan dan penagihan dadah serta bahan, semua pihak hendaklah berganding bahu dan tidak bertindak solo. AADK tidak mampu memikul tanggungjawab ini tanpa penglibatan semua pihak,” katanya.
Elmariah berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Training Of Trainers (TOT) Skuad Antidadah dan Majlis Ramah Mesra Pengarah AADK Negeri Sabah bersama Rakan Strategik Tahun 2025 yang diadakan di sini beru-baru ini.
Beliau merakamkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang hadir menjayakan Program TOT Skuad Antidadah yang telah berlangsung selama dua hari itu.
“Terima kasih kepada Skuad Antidadah Negeri khususnya kepimpinan skuad dan ahli jawatankuasa yang turut menjayakan kelangsungan program 2 hari 1 malam ini dengan baik.
“Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan syabas diatas pencapaian sepanjang 2024 dalam melaksanakan program-program pencegahan dan kesedaran bersama pihak AADK Negeri Sabah.
“Harapan saya pada tahun ini, kita semua dapat terus berganding bahu membuat pencapaian yang lebih baik dari semalam dan meletakkan added value kepada apa juga yang dilaksanakan,” katanya.
Tambah Elmariah, penganjuran TOT Skuad Antidadah pada kali ini merupakan salah satu usaha memberi pengetahuan dan kemahiran kepada kepimpinan Skuad Antidadah dalam melaksanakan fungsi dan peranan sebagai Sukarelawan Antidadah.
Ia, katanya, sekaligus menyediakan kepimpinan dan ahli yang mempunyai ilmu dalam melaksanakan aktiviti bersama rakan strategik dan rakan pintar dengan pendedahan kepada modul latihan sebagai panduan untuk melaksanakan latihan lanjut kepada ahli-ahli skuad di peringkat lapangan.
“Saya difahamkan bahawa Skuad turut membuat perancangan program dan aktiviti akan datang dan berharap setiap jawatankuasa skuad antidadah di tempat masing-masing dapat merancang dan menghasilkan perancangan program dan aktiviti yang berimpak tinggi seusai menghadiri bengkel TOT ini.
“Apa yang pentingnya juga ialah, apapun strategi dan perancangan hendak dilaksanakan, ianya adalah inisiatif yang mendepani cabaran terkini, seiring dengan perubahan dan kekal relevan,” katanya.
Menurut Elmariah lagi, ledakan penggunaan teknologi telah menjadi katalis terhadap keberkesanan kepada inisiatif program yang dirancang dan akan dilaksanakan.
“Adalah besar harapan saya agar Sukarelawan Antidadah di Negeri Sabah ini dapat mengketengahkan signature tersendiri dan memiliki identiti yang boleh dikenali peranan dan sumbangannya.
“Saya mengalu-alukan sebarang idea dari ahli sukarelawan untuk dikembangkan bersama sekiranya bersesuaian,” katanya.
Bengkel selama dua hari tersebut melibatkan kakitangan AADK Daerah dan Negeri Sabah, Pengerusi-Pengerusi Skuad Antidadah dan JKPD serta Ikon-ikon Antidadah di Negeri Sabah.
Tujuan bengkel diadakan adalah sebagai perancangan program bersama JKPD dan Ikon Antidadah dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah di negeri Sabah terutamanya Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).
Majlis tersebut juga bagi menyampaikan penghargaan kepada rakan strategik AADK antaranya ialah Kerajaan Negeri Sabah, PDRM, Jabatan Penjara Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Belia Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), PEMADAM Negeri Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Semasa majlis berlangsung, Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sabah, Haji Mazlan @ Joehari Manan selaku juga menekankan mengenai kesan-kesan penyalahgunaan dadah terutamanya terhadap golongan belia di negeri ini dan memerlukan usaha bersama untuk menanganinya.
Turut berlangsung semasa majlis perasmian adalah penyerahan sebanyak 10,000 risalah kempen Pencegahan antidadah yang telah disumbangkan oleh Pengurus Syarikat Blueprints Mohd Yasser Huzaifie Arpandi, sebagai tanda menyokong kempen kesedaran bahaya dadah terhadap masyarakat.



