DATUK JONATHAN (kiri) ketika berucap merasmikan bengkel
RANAU: Seramai 56 penggiat seni muzik menyertai program 2-dalam-1 yang jarang ditemui iaitu Bengkel Penjurian Vokal dan Lagu merangkumi lagu-lagu Etnik Sabah (Sugandoi) dan Antarabangsa yang diadakan di sini pada Sabtu.
Perasmian bengkel itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang mengalu-alukan kehadiran semua peserta khususnya yang datang dari jauh di seluruh Sabah.
Jonathan mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur kerana berjaya merealisasikan program yang julung kali diadakan di daerah Ranau itu.
“Syabas juga kerana berjaya menjemput artis berbakat dan berpengalaman dalam bidang muzik dan nyanyian iaitu Rhowell Rolland Pagi untuk menjadi tenaga pengajar utama dalam bengkel ini.
“Dengar perkongsian beliau kerana penting untuk peserta menimba ilmu daripada beliau,” katanya.
Jonathan mengalu-alukan majoriti peserta bengkel yang datang dari seluruh negeri Sabah.
Tambahnya, industri nyanyian merupakan industri yang penting terutama bagi rakyat Sabah yang pada asasnya berbakat dalam bidang nyanyian.
CENDERAHATI…Jonathan menerima cenderahati disampaikan Masni (artis tempatan)
“Program ini bukan sahaja dapat menambah ilmu dalam seni suara malah dapat mengasah bakat terpendam yang ada pada setiap peserta.
“Harapan kami agar program kali ini dapat memberi impak positif kepada semua peserta dan khususnya bagi daerah Ranau terutama kerana kehadiran peserta dari luar daerah,” katanya.
Jonathan berharap program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan mampu mengembangkan seni, bukan sahaja untuk peserta itu sendiri tetapi juga untuk generasi muda dan masyarakat amnya.
“Siapa tahu, daripada platform ini akan muncul artis berbakat yang suatu hari nanti akan memenangi pertandingan Asian Got Talent (AGT) dan memenangi hadiah lumayan.
“Ini akan mengharumkan lagi nama Malaysia khususnya negeri Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur bengkel, Sylviana Viana Saiki AKA Vie Jimmy berkata, program itu melibatkan teknik vokal penyanyi yang betul dan sihat, asas memanaskan badan penyanyi, persiapan di pentas dan cara memilih lagu yang betul.
Bagi bengkel penjurian, katanya, para peserta diajar untuk memahami kriteria pertandingan nyanyian (vokal), di mana kandungan bengkel lebih menjurus kepada penilaian aspek tempo, persembahan, skema dan tempo rubrik serta persembahan.
Vie merupakan salah seorang ahli jawatankuasa (Biro Pembangunan) dalam Persatuan Seniman Tempatan Sabah (PERTISA) serta Setiausaha Agung Kelab Rekreasi Seniman Sabah (KERAS) dan Ketua Biro Kelab Kebajikan Kupi-Kupi FM 96.3 FM.
Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang pemilik syarikat hiburan MV Entertainment Sdn Bhd dan Rumandawi Café, Ranau.
Sebahagian peserta bengkel merakam gambar bersama penganjur
Beliau berkata matlamat penganjuran bengkel 2-dalam-1 di daerah Ranau ini adalah untuk memberi ruang kepada artis hiburan menimba ilmu dalam kedua-dua bidang.
“Ini untuk mereka yang berminat untuk menambah ilmu dalam bidang nyanyian (terutamanya bakal peserta Sugandoi Kaamatan), serta penjurian lagu tidak kira di mana,” katanya.
Bengkel itu menampilkan penceramah yang diiktiraf sangat profesional dalam bidang itu, Rhowell Rolland Pagi, guru vokal dan piano yang juga pensyarah ensembel vokal di UITM, Sabah.
“Rhowell juga merupakan pengasas dan pemilik Fortissimo Music Studio yang terletak di daerah Tuaran, Sabah.
“Pengiktirafan beliau sebagai guru vokal dan juga juri pertandingan nyanyian di seluruh pelusuk negeri bukan sahaja di peringkat daerah, malah di peringkat negeri.
“Selain itu, Rhowell sering dijemput untuk memberi latihan vokal solo dan koir di RTM serta sekolah rendah dan menengah,” katanya sambil menambah artis veteran tempatan, Masni Sumiran juga bertindak sebagai salah seorang penganjur program itu.