Sebahagian peserta yang menyertai larian sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025, peringkat Labuan, pada Ahad.
LABUAN: Hujan lebat yang melanda Wilayah Persekutuan sejak malam semalam tidak menghalang lebih 3,000 warga Labuan termasuk pengunjung luar untuk menyertai larian sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 peringkat Labuan.
Larian yang membabitkan tiga kategori itu masing masing Half Marathon sejauh 21 kilometer, Larian BMW Regas Premium sejauh 10 kilometer dan Larian Hari Wilayah sejauh 5 kilometer disempurnakan perlepasannya oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Indera Noridah Abdul Rahim di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, pada pagi Ahad.
Terdahulu ketika berucap, Noridah berkata, larian tersebut merupakan larian siri kedua selepas siri pertama di Putrajaya pada 1 Febuari lalu yang dilancarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa.
“Program ini merupakan salah satu program yang telah dirangka dalam kalendar Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 dan merupakan program kerjasama strategik bersama JomRun selaras dengan visi Bandar CHASE.” katanya.
Noridah berkata program ini juga antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan keharmonian sesama warga Wilayah Persekutuan dengan amalan gaya hidup yang sihat.
Sementara itu, para peserta yang menyertai larian tersebut berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah menarik melalui cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000.



