Oleh: MARRYAN RAZAN
KOTA BELUD: Lebih 3,000 pengunjung menghadiri dan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka (MRT) Krismas dan Tahun Baru 2020 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, pada Ahad.
Â
Majlis itu yang dihoskan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Pada majlis itu Ketua Menteri turut merasmikan Dewan Kadamaian Square dan melancarkan Pelan Pembangunan Kadamaian 2020 – 2035.
Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang majlis itu antaranya persembahan artis-artis jemputan seperti Rosario Bianis bekas juara Bintang RTM 2016 dan Juara Pertandingan Nyanyian Asean Song Contest 2019, Felix Agus, Debra Sia juara Sugandoi Kaamatan Negeri 2019, S.Willy dan Elica Paujin.
Ewon berkata majlis rumah terbuka itu yang diadakan setiap tahun bertujuan beramah mesra dan mengeratkan hubungan silaturahim antara para pemimpin dan rakyat terutamanya masyarakat Kadamaian.
“Saya berharap melalui majlis seumpama itu kita dapat memperkasakan lagi ikatan silahturahim dalam keluarga besar di negeri ini yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya,” katanya.
Mengenai dewan itu Ewon berkata, ia dilengkapi kemudahan pentas, bilik tetamu, bilik stor, tandas awam dan platform tangki air, kemudahan parking konkrit tambahan, jalan konkrit tamu dan kemudahan meja kerusi.
“Keseluruhannya melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Ketua Menteri Sabah seperti yang beliau umumkan semasa Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru Kadamaian awal tahun 2019.
“Dewan ini akan memberi manfaat kepada para peniaga tamu mingguan dan pengunjung Tamu Taginambur serta acara-acara besar di Kadamaian termasuk majlis perkahwinan, hari keluarga, konsert, pameran dan sebagainya,” katanya.
Ewon turut merancang untuk membina Walai Kadamaian (Pusat Pelancongan dan Kebudayaan Kadamaian) dan Kompleks Keusahawanan Desa Kota Belud di kawasan Mukim Taginambur sebagai pusat ekonomi kawasan ini.
Bagi memeriahkan lagi majlis itu, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung bertuah, antaranya basikal, barangan elektrik, barangan dapur dan hamper.-TAMAT