34 C
Kota Kinabalu
Khamis, April 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kira-kira 150 penduduk Nabawan hadir Program kesedaran Kanser

Arthur semasa merasmikan program itu.

NABAWAN:Seramai lebih kurang 150 penduduk sekitar daerah Nabawan menghadiri program anjuran bersama Persatuan Sukarelawan Kanser Negeri Sabah (PSKS) dan Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan di sini kelmarin.

Program Kesedaran Kanser yang julung kalinya diadakan di Daerah ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Arthur Joseph Kurup.

Program yang berlansung selama sehari turut menawarkan pemeriksaan kesihatan serta khidmat nasihat klinik berhenti merokok secara percuma.

Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar dan kanser paru-paru. 

Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara.

Satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu; berat badan yang berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur- sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol. 

Pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan antara penyumbang terbesar kematian akibat kanser.

Arthur menemui seorang warga emas yang hadir pada program itu.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan ketika berucap mengingatkan orang ramai terutamanya Keluarga Malaysia di Parlimen Pensiangan supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti berjogging, bermain bola sepak, badminton, berbasikal dan sebagainya sebagai langkah awal pencegahan penyakit kronik seperti kanser.

Tambahnya lagi kerjasama pemimpin komuniti, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat umum amat diperlukan untuk memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran dan mencegah penularan kanser di kalangan keluarga dan komuniti.

Beliau turut menyeru Kerajaan untuk mempertimbangkan pembinaan Hospital Nabawan selari dengan penambahan penduduk dan kepesatan pembangunan di daerah ini.

Dengan adanya Hospital Nabawan, akan membolehkan penduduk di Parlimen Pensiangan dan kawasan sekitar mendapat fasiliti kesihatan lengkap tanpa perlu melalui perjalanan yang jauh seperti ke Hospital Keningau.

Turut hadir Puan Tina @ Noorjana Abdullah, Setiausaha Persatuan Sukarelawan Kanser Negeri Sabah, Puan Shamsiah Ani, Penyelaras Persatuan Sukarelawan Kanser Daerah Nabawan, Francais Stephen dan Penolong Pegawai Daerah Nabawan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN