27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Lebih 1,000 penduduk kg nikmati bekalan air bersih sumbangan Etiqa.

RANAU: Penantian lebih 1,000 penduduk di Kampung Kigiok-Solong, Ranau, Sabah untuk mendapatkan bekalan air bersih berakhir apabila Projek Air Bersih Etiqa telah siap sepenuhnya hari Sabtu.

Projek di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat Etiqa ini bertujuan membantu meringankan beban penduduk setempat bagi mendapatkan bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun.

Projek istimewa ini telah mendapat pembiayaan sepenuhnya dari Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).

Sejak lebih 20 tahun yang lalu, penduduk Kg Kigiok-Solong bergantung kepada sumber bekalan air bukit daripada anak sungai berhampiran. Dengan mengunakan sistem air graviti yang telah dibina sendiri di kawasan tadahan air sedia ada, mereka tetap menghadapi masalah kekurangan air berikutan peningkatan drastik jumlah penduduk terutamanya kerana pembinaan sekolah berasrama penuh berhampiran kampung itu beberapa tahun lalu.

Selain daripada itu, paip yang telah mereka bina itu, telah uzur dan sering bocor sentiasa menimbulkan masalah kekurangan air kepada penduduk khususnya di musim kemarau apabila tekanan air yang turun dari anak sungai berdekatan terlalu rendah untuk disalurkan ke rumah-rumah penduduk kampung.

Melalui projek ini, Etiqa dengan kerjasama IAM telah menambah baik sistem sambungan paip menggunakan kelengkapan yang lebih berkualiti. Sejumlah 2 unit tangki air graviti berkapasiti 2,000 gelen, serta sebuah rumah pam telah dibina bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk.

Lebih istimewa, tangki-tangki tersebut dilengkapi sistem penapis air membran atau Membrane Water Filter System bagi memastikan kualiti air yang disimpan sentiasa dirawat dan tidak tercemar. Stand Pipe juga turut dibina berhampiran rumah pam bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung untuk mengambil air secara terus dari tangki simpanan.

Perlaksanaan projek ini turut melibatkan penyertaan penduduk kampung serta sukarelawan daripada Etiqa & IAM. Secara bergotong royong, proses penampahbaikan ini melibatkan pemasangan paip hampir 9km, termasuk pembinaan tangki air graviti berhampiran kampung tersebut.

Selain itu, sumbangan berbentuk pek makanan asas harian kepada 250 keluarga yang memerlukan dari sekitar Kg Kigiok-Solong, Ranau, Sabah turut diagihkan. Setiap penerima manfaat menerima Pek Makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain disamping sumbangan wang tunai bernilai RM50 untuk setiap keluarga.

Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Air Bersih ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah, Bahagian Sabah, Etiqa Insurans & Takaful, Aldo Kok di Mini Dewan Kisora Kg Kigiok-Solong.

Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Presiden IAM, Zawahir Abdullah dan dimeriahkan dengan kehadiran penduduk setempat.

Menurut Aldo, “Kami sangat berbesar hati kerana dapat merealisasikan usaha murni ini dengan kerjasama IAM. Diharapkan dengan kemudahan sistem rawatan air yang disediakan, risiko penduduk kampung untuk terdedah kepada pencemaran air dapat dikurangkan. Bukan itu sahaja, semoga projek ini dapat memudahkan kelangsungan aktiviti harian mereka dengan bekalan air yang bersih secara berterusan sepanjang tahun. Mudah-mudahan, penduduk kampung dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dengan baik dan terpelihara.

“Selari dengan visi kami untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik, atau Making The World a Better Place, projek yang telah berjaya dilaksanakan ini merupakan sebuah lagi bukti keperihatinan Etiqa dalam meningkatkan mutu kehidupan, sosial dan ekonomi masyarakat yang memerlukan bantuan di bawah program tanggungjawab sosial korporat kami dibawah slogan ‘Etiqa Cares’,” tambahnya lagi.

Menurut Zawahir “Sebagai sebuah badan NGO, Islamic Aid Malaysia (IAM) memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan yang memerlukan. Kami berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Etiqa untuk melaksanakan satu projek yang amat bermakna dan berguna kepada penduduk di sini. Projek ini merupakan satu lagi bukti keprihatinan Etiqa untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Saya yakin usaha yang dilakukan oleh pihak Etiqa amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk kampung ini apatah lagi mereka bakal menikmati sumber air yang bersih, Projek Air Bersih untuk komuniti ini telah bermula sejak awal oktober yang lalu, dan ia telah dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini. Saya amat berbangga kerana penduduk disini amat bersatu hati bergotong-royong walaupun mempunyai pegangan agama yang berbeza dan mempunyai semangat kerjasama bagi menjayakan projek ini dan menyiapkannya mengikut tempoh masa yang telah di tetapkan.” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN