Jeffrey dan Jimmy duduk di tengah dan beberapa ahli keluarga Tham dalam gambar berkumpulan di majlis itu
KENINGAU: Lebih 100 ahli keluarga menghadiri Majlis Reunion Keluarga Tham yang bertemakan ‘Kami Berkongsi Sejarah, Garis Darah’ yang diadakan di Mee Woo Resort and Spa Keningau pada Ahad.
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis itu termasuk Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.
Berucap pada majlis itu, beliau memuji jawatankuasa penganjur perjumpaan keluarga itu kerana berjaya mengumpulkan ahli keluarga yang ramai di satu tempat pada masa yang sama.
“Saya gembira melihat keluarga yang bersatu dan komited untuk menjayakan hari yang tidak dapat dilupakan ini bukan sahaja untuk satu kumpulan dalam keluarga, tetapi juga untuk setiap ahli tanpa mengira usia mereka,” katanya.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Adun Tambunan berkata, dalam perspektif yang lebih luas, “Sekarang saya berada di jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, dengan ini saya akan memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk membantu membangunkan Kenigau, membangunkan Sabah dan rakyat Sabah, termasuk keluarga ini.
“Kami dalam Kabinet Negeri Sabah juga telah menggariskan rancangan pembangunan Negeri Sabah, ‘Sabah Maju Jaya’. Kerajaan Negeri Sabah juga sedang mewujudkan gabungan dengan rakyat Sabah,” katanya.

Jeffery (tujuh kanan), Jimmy (lapan kanan) dan ahli keluarga kanan keluarga Tham memotong kek majlis dalam acara itu
Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina Sabah merangkap Pengerusi Sambutan Hari Keluarga Tham, Datuk Kapitan Jimmy Tham berkata objektif utama majlis itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan legasi Tham.
“Kami bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kami peluang untuk meluangkan masa berkumpul di majlis malam ini walaupun kami sentiasa sibuk dengan komitmen hidup masing-masing.
“Sambil bergembira sepanjang majlis ini, diharap kita tidak melupakan objektif utama majlis ini iaitu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membina semangat kekeluargaan seperti ‘darah yang lebih pekat dari air’.
“Kami memanfaatkan acara hari ini sebagai platform untuk beramah mesra, bertukar pendapat dan menggalakkan satu sama lain,” katanya.
Jimmy berkata, hari ini, legasi Tham sudah mempunyai lima keturunan dan lebih 100 ahli keluarga. Ada yang tinggal di China, Australia, Singapura, Taiwan, Semenanjung Malaysia, Sarawak dan daerah sekitar Sabah.
“Ini membuatkan kami jarang berjumpa. Walau dimana pun kita berada, untuk memastikan generasi nenek moyang kita ini kekal bersatu padu, kita hendaklah sentiasa menghargai dan mengenang jasa nenek moyang kita, menjadikan ajaran nenek moyang sebagai pedoman hidup kita, sentiasa ada kesedaran untuk melakukan perubahan dan semangat untuk mengatur masa depan yang mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Keningau (KCCC), Chew Ah Kow, Timbalan Pengerusi KCCC, Ang Lui Meng, Pengerusi Persatuan Klan Tham (Keningau), Tham Vui Pin, Bendahari KCCC, Lee Kien Peng, Ahli Jawatankuasa KCCC, Ng Hung Kee dan lain-lain.