LABUAN: Dewan Perniagaan Labuan (LCC) berharap Datuk Seri Anifah Aman yang baru dilantik sebagai Senator bagi kerusi Parlimen Labuan dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi pulau bebas cukai ini.
Pengerusinya Daniel Doughty (gambar) berkata pelantikan Anifah adalah langkah positif ke arah menggalakkan pembangunan ekonomi Labuan, yang akan membawa kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Sebagai tokoh politik yang berwibawa selain pernah menjawat Menteri Luar, pastinya Anifah mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dan ini bertepatan dengan peranannya sebagai Senator” katanya dalam satu kenyataan media di sini, kelmarin.
Doughty berkata, Anifah yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas khususnya dalam urusan luar negara
dan di peringkat Persekutuan mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi Labuan dan menarik lebih ramai pelabur luar.
Beliau berkata, Labuan perlu mempunyai rancangan pembangunan ekonomi untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau pemboleh ekonomi yang berdaya saing.
“Kami yakin Anifah boleh membantu mengukuhkan ekonomi dan mengharmonikan dasar yang memberi kesan kepada ekonomi Labuan.
“LCC sentiasa berusaha untuk memulihkan ekonomi Labuan ini termasuklah aktiviti pemindahan kapaldan kelulusan enam pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) di Victoria Bay Labuan” katanya.
Selain itu LCC juga bersedia untuk menjadikan Victoria Bay Labuan sebagai hab pemindahan kapal bagi wilayah Brunei-Indonesi-Malaysia Filipina Asia Timur (BIMPEAGA),” katanya.
LCC juga turut memperjuangkan keperluan Labuan terutamanya dalam memulihkan industry Halal Hub yang selama ini terbiar.
“Ini bukan sahaja membawa masuk pelabur tetapi juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan dalam aktiviti pelabelan dan pembungkusan semula” katanya.
Beliau berkata terdapat juga peluang untuk menempatkan semula terminal ro-ro feri, yang melibatkan kawasan di Tanjung Aru dan Mempakul yang dilengkapi dengan kemudahan pusat pemeriksaan kastam, imigresen, kuarantin (CIQ).
Justeru itu LCC berharap dapat bekerjasama dengan Senator yang baharu dilantik (Anifah) bagi merealisasikan pembangunan ekonomi Labuan dapat dilaksanakan dan mencapai objektif.