Gambar: SIMBOLIK…. Dr Fary (dua kanan) menerima secara simbolik bakul makanan daripada Chai Tze Moh (dua dari kiri), Turut sama juga Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail (kiri sekali)
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN Lazenda Hotel Labuan bersama enam lagi syarikat gabungan Lazenda Hotel (Sister Company) menyumbang bakul makanan kepada Perbadanan Labuan dan juga Hospital Labuan yang keseluruhanya bernilai RM140,000.
Majlis ringkas penyerahan sumbangan bakul makanan bernilai RM70,000 (Perbadanan Labuan) itu disampaikan oleh Pengarah Lazenda Hotel Labuan, Chai Tze Moh kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman yang diadakan di Setor Se Pusat Perbadanan Labuan di Jalan Ismail, pagi ini.
Enam lagi syarikat gabungan yang turut sama menyumbang ialah Tiara Hotel Labuan, Palm Beach Resort and SPA, Lazenda Development Sdn. Bhd, Fung Hing Sdn. Bhd, dan ITMC Fiduciary Limited.
Chai ketika ditemui berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat untuk membantu masyarakat Labuan khususnya mereka yang terjejas akibat PKPD Bersasar dan juga pesakit COVID 19 yang sedang menerima rawatan di hospital Labuan.
Sementara itu Dr Fary berkata, sumbangan yang diterima daripada pihak swasta, korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diselaraskan pengagihannya oleh Perbadanan Labuan melalui pasukan Ops Wilayah Prihatin Labuan (OWPL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau turut merakamkan uncapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan sumbangan sekaligus dapat menambah bekalan bantuan bakul makanan untuk diagihkan kepada golongan yang terkesan akibat PKPD Bersasar dan PKPD.
Perbadanan Labuan juga telah menyediakan bantuan sebanyak 3,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada golongan yang berada di luar kawasan PKPD Bersasar, iaitu di kawasan PKPD yang sedang dilaksanakan di seluruh Labuan.