31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

LaRIS lahirkan fasilitator inovasi dan kajian

Gambar: Dr.Hygimus

Oleh:JAINUDIN DJIMIN

LABUAN:Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan atau lebih dikenali sebagai LaRIS (singkatan Labuan Research, Innovation and Creativity Society) telah menganjurkan Bengkel Asas Fasilitator Inovasi dan Kajian pada 05 Jun 2021 (Sabtu) secara dalam talian melalui Google Meet.

Bengkel peringkat kebangsaan yang disertai oleh 24 orang guru dari negeri Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Labuan itu berlangsung selama empat jam dan disampaikan oleh Pengerusi LaRIS, Dr. Hyginus Lester Junior Lee.

Menurut Dr. Hyginus, bengkel tersebut diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang kemahiran pemudahcaraan dalam menjalankan inovasi dan kajian kepada kumpulan novis. Peserta juga diperkenalkan dengan format dan langkah-langkah mudah penulisan inovasi dan kajian. Sebanyak sepuluh sesi disampaikan dalam bengkel tersebut.

Sesi pertama melibatkan tatacara dan petua mengendalikan latihan inovasi dan kajian. Sesi kedua pula meneroka peranan dan cabaran sebagai seorang jurulatih dan fasilitator. Teori pembelajaran dan jenis-jenis pembelajaran dan gaya peserta dikongsikan. Sesi ketiga pula ialah pengenalan kepada konsep “Design Thinking” di mana langkah seperti “empathise, define, ideate, prototype and test” diberi penekanan.

Sesi keempat mengajar peserta berfikir sebagai seorang inventor dan inovator dengan membudayakan prinsip inovasi, mentaliti inovator, dan pemikiran peniruan kreatif.  Sesi lima mendedahkan peserta kepada kriteria, syarat, dan peluang dalam pertandingan inovasi.

Peserta mendalami kajian asas dan kajian gunaan dalam sesi keenam dan ketujuh. Bimbingan komprehensif format dan cara penulisan kajian tindakan dititikberatkan agar peserta mampu membantu dan memberi tunjuk ajar kepada pelatih lain pada masa akan datang. Masalah dan isu tentang inovasi dan kajian tindakan dikupas dalam sesi kesembilan. Sesi terakhir merupakan sesi soal jawab.

Goh Kok Ming, Penolong Kanan Pentadbiran SJKC Chi Sheng 2, Perak, yang menyertai program tersebut berkata bahawa bengkel asas fasilitator ini sangat bermanfaat kerana memberi pendedahan awal bagaimana mendepani peserta inovasi dan kajian yang datang daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai jangkaan masing-masing. Gaya belajar setiap peserta berbeza dan setiap perbezaan itu haruslah diberikan perhatian khusus.

Juraidah binti Aman, pegawai SISC+ TVET Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang hadir dalam bengkel tersebut berkata beliau berhasrat membantu lebih ramai guru melibatkan diri dalam inovasi dan kajian. Oleh yang demikian, beliau ingin menjadi suri teladan kepada guru lain bahawa dengan mengambil langkah awal dan pembelajaran yang berterusan, seseorang guru itu boleh berjaya. Beliau berharap agar bimbingan penulisan bahan ilmiah yang dikongsikan dalam bengkel tersebut dapat menjadi sumber rujukannya selepas ini.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Junaidah binti Baharuddin dari SMK Mutiara, Labuan yang juga jurulatih utama kajian tindakan negeri Wilayah Persekutuan Labuan bagi memberi sokongan moral kepada guru-guru Labuan bertindak sebagai fasilitator bagi menghasilkan inovasi dan kajian tindakan. Beliau berkata bahawa guru memerlukan platform untuk mengasah bakat dan potensi dan berharap dengan menghadiri bengkel tersebut, mereka dapat meningkatkan lagi keberhasilan murid di sekolah. Beliau yakin guru akan mempunyai aspirasi menambahbaik pengajaran dan pembelajaran murid terutamanya dalam kekangan pandemik Covid-19 ini.

LaRIS boleh dihubungi melalui e-mel laris.labuan@gmail.com atau Facebook LaRIS Labuan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN