PEMBENTANG (dari kiri): Dr. Usang, Dr. Asmawati, Suriani, Dr. Hyginus, Richeal Phil dan Samih Kukung
LABUAN:Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (Labuan Research, Innovation and Creativity Society – LaRIS) buat julung kalinya menganjurkan Perhimpunan Hakim Inovasi Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (National Assembly of International Innovation Judges) di Bilik Cemerlang, Wisma Perbadanan Labuan, baru baru ini.
Program yang mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Perbadanan Labuan itu dihadiri seramai 22 hakim dari Labuan, Sabah, Sarawak, Perak dan Pahang.
Pengerusi LaRIS, Dr. Hyginus Lester Junior Lee berkata pembentang dalam program ini disyaratkan mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai hakim dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa.
Jelasnya, mereka perlu berkongsi pengalaman dan mengupas isu-isu dalam penilaian inovasi, antaranya nilai komersial, keberkesanan kos, reka cipta, inovasi dan kreativiti, efisiensi, kebolehlaksanaan dan keaslian produk.
Pembentangan pertama dimulakan oleh Dr. Hyginus Lester Junior Lee bertajuk “Inovasi dan Peniruan Kreatif”.
Pegawai SISC+ Sains Sosial Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Suriani Alland Rice Oxley berkongsi tentang borang penilaian pertandingan inovasi.

TERBAIK…Amiah menyampaikan Sijil Pembentangan Terbaik kepada Samih (kanan) sambil diperhatikan Dr. Hyginus.
Manakala pembentang dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Richeal Phil Thien Kim How membentangkan “Best Award vs Gold Award vs Silver/Bronze Award” manakala Samih Kukung dari Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau membentangkan tajuk “Towards Global Innovative Educators”.
Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang, Dr. Asmawati Mohamad Ali mengupas tajuk “Penyelidikan, Inovasi, dan KIK” sementara Dr. Usang anak Ngrambang dari Pejabat Pendidikan Daerah Limbang berkongsi tentang Kreativiti Dan Inovasi Peserta Kolokium.
Perbadanan Labuan turut menyampaikan slot Kenali Labuan yang disampaikan oleh Mohamad Razwan Abd Halim dari Jabatan Pelancongan, Kebudayaan, dan Kesenian.
Pembentangan terbaik telah dimenangi oleh Samih Kukung (Hadiah Emas), Hyginus Lester (Hadiah Perak) dan Richeal Phil Thien Kim How (Hadiah Gangsa) manakala Hadiah “People’s Choice” untuk pembentangan popular dirangkul oleh Richeal Phil Thien How.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Amiah Bua dan Penolong Pengarah Sektor Perancangan, JPN Labuan, Faridah Amit.
Pengerusi LaRIS, Dr. Hyginus Lester Junior Lee yang juga Pegawai SISC+ menyatakan bahawa program tersebut menghimpunkan hakim inovasi dari seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam penilaian inovasi peringkat antarabangsa, membincangkan isu dalam penilaian reka bentuk dan ciptaan produk, mensyorkan prinsip inovasi yang berkualiti, dan mempromosi penghasilan inovasi yang efisien dan lestari.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Perbadanan Labuan kerana menyokong program tersebut.