Gambar: Kong Soon Choi, Suzie Lo, Walta Tuji
RANAU: Natizen disekitar daerah Ranau optimis sekiranya Kerajaan mengambil langkah meneruskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) bagi mempastikan penularan wabak Covid 19 terus dapat dibendung sepenuhnya.
Tinjauan disekitar pekan ini mendapati, individu yang ditemui menyatakan persetujuan sekiranya Kerajaan mengambil keputusan untuk terus menyambung tempoh PKPB yang dijangka berakhir pada 26 Oktober 2020 akan datang.
Seorang peniaga dikenali sebagai Kong Soon Choi,38 tahun, menyatakan beliau amat bersetuju sekiranya PKPB dilanjutkan lagi kepada suatu tempoh yang sesuai bagi mempastikan rantaian pandemik Covid 19 terus diputuskan sepenuhnya.
“Saya sangat bersetuju jika PKPB dilanjutkan, dengan cara ini sahajalah wabak maut ini dapat diputuskan sepenuhnya agar masyarakat mematuhi sepenuhnya SOP yang digariskan”, jelas Kong.
Seorang lagi penduduk, Suzie Lo,66 tahun daripada Kg.Pasir Putih menyatakan PKPB wajar disambung bagi mempastikan kesihatan rakyat terus terjamin. Katanya, rakyat perlu akur dengan peraturan yang digariskan kerana ada dua pilihan sahaja, mahu bebas bergerak atau mahu kesihatan terjejas.
“Kita akur jika PKPB dilanjutkan, angka jangkitan semakin meningkat di seluruh Sabah, saya amat bersetuju jika dilanjutkan lagi PKPB”, tegas beliau.
Manakala bagi Walta Tuji, 39 tahun berasal dari Kg. Kiaburi, beliau juga bersetuju jika PKPB terus dilanjutkan hingga wabak Covid 19 benar-benar dapat dibendung sepenuhnya. Jelasnya, sebagai rakyat, apa yang terbaik dilakukan oleh Kerajaan perlu disokong sepenuhnya khasnya dalam usaha membendung penularan wavak Covid 19.
“Saya bersetuju dan tiada masalah jika PKPB dilanjutkan. Itu lebih baik daripada membiarkan angkat jangkitan terus meningkat dari masa ke semasa”, katanya.
Setakat ini, tinjauan semasa disekitar daerah Ranau mendapati suasana masih terkawal dan kebanyakan aktiviti masyarakat berjalan lancar dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan. Pihak berkuasa terdiri dari Pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RELA turut dilihat menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan PKPB secara konsisten.