AUTOSHOW….Rithuan (tiga kiri) bersama Mohd Mozallye (tiga dari kanan) menyaksikan salah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menyertai LAMEGA 2023
LABUAN:Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail berkata penganjuran Labuan Mega Gath & Autoshow 2023 (LAMEGA) merupakan platform terbaik merancakkan dan mempromosikan semula sektor pelancongan Labuan.
Selain itu katanya, program ini juga mampu meningkatkan semula ekonomi tempatan Labuan yang sebelum ini agak merudum akibat kesan daripada pendemik COVID 19.
“Penganjuran LAMEGA ini amat bermakna dan bermanfaat kerana ia bukan sahaja dapat menghimpunkan semula ahli kelab dan pemain industri permotoran Borneo di Labuan tetapi juga mampu mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan Labuan sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program LAMEGA 2023 anjuran Unlimited Performance yang diadakan di tempat letak kereta Medan Selera, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengurus Program LAMEGA Labuan 2023, Mohd Mozallye Moulton.
Rithuan berkata, sebagai menyokong penganjuran LAMEGA 2023, pihak Perbadanan Labuan telah memasukkan LAMEGA sebagai salah satu acara dalam Kalendar Pelancongan Perbadanan Labuan.
Sebanyak 150 kereta pelbagai jenama termasuk kereta mewah menyertai program tersebut melibatkan penyertaan dari kelab permptoran Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.
Sementara itu, Mohd Mozallye berkata, Labuan dipilih sebagai LAMEGA 2023 berdasarkan kedudukan Labuan sebagai destinasi yang amat strategik untuk dikunjungi pemain industri permotoran kawasan Borneo khususnya dari Sabah, Sarawak dan juga Brunei Darussalam.