Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Laluan runtuh di Kilometer 96.7 Jalan Kundasang-Ranau pada 8 Disember lalu akan dibuka semula kepada lalu lintas pada 9 Januari ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Richard Jomiji Kinsil, berkata, ketika ini, kerja-kerja akhir pembaikan laluan sedang giat dilakukan kontraktor.

“Kontraktor sedang menyiapkan kerja akhir pembaikan laluan yang terjejas dan perkembangan kerja pembaikan secara keseluruhan setakat ini sudah mencapai 70 peratus.
“Baki kerja yang belum siap ialah subbase dan base course jalan, pemasangan sheet pile, penghadang jalan, papan tanda dan garisan jalan.
“Bagaimanapun pembukaan semula laluan terbabit yang dijadualkan pada 9 Disember bergantung kepada keadaan cuaca, beberapa hari ini cuaca baik,” katanya

Jelasnya lagi, jika semua kerja akhir pembaikan berkenaan berjalan lancar, kemungkinan laluan utama itu akan dibuka lebih awal.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira 9 malam pada 8 Disember lalu telah menyebabkan laluan utama menghubungkan Kota Kinabalu-Pantai Timur Sabah itu terputus.
Ekoran kejadian itu, ratusan kenderaan dari kedua-dua arah terkandas dan terpaksa menggunakan beberapa laluan alternatif sehingga kini.-TAMAT-