DIPINDAHKAN…..dua petugas DHL Express memindahkan vaksin sebelum di bawa ke Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Labuan sambil dikawal ketat oleh anggota polis
LABUAN: Sebanyak 4,860 dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID 19 selamat tiba di Terminal Feri Kenderaan Labuan mengunakan pengangkutan Laut menaiki feri dari Menumbok, pada Jumaat.
Vaksin yang dihantar menggunakan perkhidamatan penghantaran DHL Express dari Kota Kinabalu itu dikawal ketat oleh anggota keselamatan sepanjang penghantarannya ke Labuan.
Kemudiannya, vaksin yang akan disuntik kepada 2,430 petugas barisan hadapan itu dipindahkan ke Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Labuan yang akan dikawal ketat oleh anggota polis.
Hadir sama menunggu ketibaan vaksin berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Ismail, Pemangku Ketua Polis Labuan, DSP Mohd Ibrahim Ghani dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Daud.
Sementara itu, Dr. Ismuni berkata antara petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan vaskin fasa pertama ini antaranya kakitangan Jabatan Kesihatan, anggota keselamatan polis, dan agensi kerajaan yang lain yang terlibat secara langsung sebagai anggota barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID19.
Menurut Dr.Ismuni, program imunisasi fasa pertama akan bermula pada Sabtu di Klinik Kesihatan Membedai yang akan dilancarkan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias yang juga merupakan orang pertama yang bakal menerima suntikan Vasin diikuti Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dan beliau sendiri (Dr.Ismuni) dan seterusnya Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Rithuan Ismail dan Pemangku Ketua Polis Labuan, DSP, Mohd Ibrahim.
“Jabatan Kesihatan Labuan telahpun bersiap sedia sepenuhnya untuk menjalankan proses vaksinasi COVID 19 dengan kerjasama daripada PDRM, MKN dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) Perbadanan Labuan” katanya.