Gambar: KELIHATAN…. rak-rak coklat impot di salah sebuah premis Kedai Bebas Cukai yang kosong.
LABUAN: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Labuan (LCCCI), hari ini mendakwa sebahagian besar premis yang mengendalikan Kedai Bebas Cukai di sini menghadapi gangguan bekalan barangan bebas cukai terutamanya coklat impot yang menjadi tarikan pelancong.
Presiden LCCI, Datuk Wong Kii Yii mendakwa kekurangan bekalan tersebut berpunca daripada kelewatan penghantaran kapal kargo yang memakan masa sehingga beberapa minggu lamanya.
“Kami menerima maklumat satu-satunya perkhidmatan perkapalan (pengangkutan kargo) yang datang ke Pelabuhan Labuan hanya dua kali dalam sebulan menyebabkan berlakunya gangguan sehingga kedai bebas cukai kehabisan stok” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, kelewatan sehingga beberapa minggu lamanya telah memberi impak besar ke atas perniagaan, terutama imej Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai, malah ekonomi Labuan yang semakin pulih secara perlahan-lahan menjadi lembab akibat kekurangan bekalan barangan terutamanya barangan bebas cukai seperti coklat.

Datuk Wong Kii Yii.
“Kami optimis bahawa ekonomi Labuan ini akan kembali pulih selepas mengharungi pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas yang menjejaskan kehidupan rakyat serta perniagaan,” katanya.
Menurut Wong, terdapat beberapa pengimport terpaksa beralih kepada tindakan mengimport kargo mereka dari luiar negara seperti dari Singapura menerusi Pelabuhan Sepanggar di Sabah bagi memastikan bekalan mereka tidak terjejas sekalipun kos pengangkutan meningkat lebih tinggi.
Katanya, perkara ini terpaksa di harungi oleh salah seorang ahli kami yang mengendalikan sebuah kedai bebas cukai yang lazimnya membawa masuk dua hingga tiga kontena sebulan merangkumi pelbagai barangan, termasuk coklat berjenama dari negara-negara Eropah dan Singapura.
“Namun kini, rak barangan coklat jualannya kosong dan tiada apa untuk dijual,” katanya.
Sehubungan itu, Wong berkata LCCCI akan mengutus surat kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengenai masalah tersebut yang menjejaskan kelangsungan perniagaan selain bagi memastikan rantaian bekalan terbabit terus bertahan.
“Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada keadaan itu disebabkan oleh tindak tanduk antipersaingan atau sama ada ia membolehkan sebarang campur tangan pihak berwajib.
“Kami masih dalam proses membincangkan perkara itu dengan penggiat pasaran untuk memahami keadaan serta langkah bagi menanganinya,” katanya.
Sementara itu tiunjuan mendapati hampir keseluruhan rak-rak barangan coklat impot pelbagai jenis di premis bebas cukai di pulau ini kosong hampir sebulan yang lalu.