29 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Labuan belum bersedia sepenuhnya buka sektor ekonomi

MESRA…. Dr Ismuni  bersama sukarelawan Privo PPV KML. Turut kelihatan Pengerusi MPP Zon Labuan Mohd Dzulfaizal Ab. Manan (kanan sekali)

LABUAN: Secara keseluruhannya Wilayah Persekutuan Labuan belum lagi bersedia sepenuhnya untuk membuka sektor ekonomi dan industri walaupun kes positif menunjukkan penurunan yang ketara sejak beberapa hari  yang lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, pembukaan sektor ekonomi dan industri di Labuan perlu melihat keadaan semasa COVID-19 selain mengambil kira program yang telah dirancang Jabatan Kesihatan Labuan.

“Sekiranya pembukaan sektor-sektor itu terlalu cepat, ia dikhuatiri merosakkan program jabatan itu yang berusaha memerangi COVID-19  selain masih melakukan Ops Bersih COVID melibatkan beberapa kawasan  yang berpotensi  untuk mewujudkan semula kes” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi Pendaftaran penerima Vaksin yang dikendalikan oleh Sukarelawan  Privo  dan MPP  di PPV KML baru-baru ini.

Jelas beliau, walaupun kes positif di Labuan menunjukkan penurunan ketara sejak beberapa hari yang lalu, namun  ia bukan tanda aras untuk pembukaan sektor-sektor tersebut dengan segera.

“Untuk memastikan program kita berjalan lancar (memerangi COVID-19), pembukaan sektor ekonomi dan sektor-sektor lain perlu diselaraskan dengan keadaan semasa supaya pembukaan itu tidak terlalu cepat hingga mengakibatkan kegagalan kepada keseluruhan program yang telah dirancang” katanya.

Beliau menjelaskan, cabaran yang paling besar yang hdi adapi sekarang  ialah apabila kes positif mula menurun, pihak-pihak industri telah mula memberi tekanan supaya aktiviti  dibuka seluas-luasnya.

“ Kami di Jabatan Kesihatan Labuan memohon supaya kita betul-betul memastikan (Labuan) bersih dahulu supaya kita mengulangi apa yang pernah berlaku,” katanya.

Menurut Dr Ismuni, bagi memastikan program yang disasarkan Jabatan Kesihatan Labuan berjalan lancar, pihaknya akan terus bekerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan untuk mengekalkan keputusan ketat mengenai kemasukan individu ke Labuan.

Semalam, Labuan merekodkan 22 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan   9,377 kes.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN