GAMBAR: RISALAH…. Basit (dua kanan) bersama beberapa pegawainya menunjukkan infografik sistem e-tanah yang akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.
LABUAN: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Labuan (PPTGWPL) akan melaksanakan sistem e-Tanah bermula hujung tahun ini.
Timbalan Pengarah PPTG Wilayah Persekutuan Labuan, Abdul Basit Abdul Latif berkata,pelaksanaan sistem itu adalah bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti, efisyen dan cekap serta dapat memenuhi ekspetaksi rakyat di pulau bebas cukai ini.
“Melalui penggunaan sistem e-Tanah beberapa urusan dalam pentadbiran tanah telah dinaik taraf bagi kemudahan pemilik tanah dan pemegang taruh dalam mengurus tanah milik bagi tujuan pembangunan, urusniaga serta semua urusan permohonan tanah secara dalam talian,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat PPTGWPL di sini, pada Selasa lalu.
Beliau berkata, terdapat sembilan modul teras dalam sistem itu iaitu Pelupusan/Pemberimilikan Tanah, Permohonan Kebenaran Urusniaga (Consent), Pendaftaran dan Pembangunan Tanah, Hasil Strata, Penguatkuasaan dan hak milik pendaftaran.
Sehubungan itu, katanya, orang awam yang mempunyai urusan yang berkaitan boleh melayari laman sesawang www.ptgwp.gov.my untuk mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian.
Jelas Abd Basit lagi, PPTGWPL juga sedang mengambil langkah untuk menyeragamkan Sewa/Cukai Tanah (Quit Rent) berkuatkuasa pada tahun depan (2022).
“Langkah ini dibuat bertujuan untuk menyeragamkan kadar cukai tanah yang dikenakan kepada tanah-tanah di Wilayah Persekutuan Labuan yang sepatutnya dikenakan sejak 2010 lagi selepas pemerluasan Kanun Tanah Negara ke Labuan dan pemakaian kaedah-kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Labuan” katanya.
Abdul Basit berkata, pelaksanaan itu perlu diimplementasi agar memberikan keadilan kepada pemilik tanah yang membayar cukai mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh KKTWPL.
Katanya, lebih kurang 7,610 daripada 12,618 hak milik masih membayar mengikut kadar cukai lama dan terdapat 736 hakmilik yang tidak dikenakan cukai langsung.
“ Sehingga hari ini masih terdapat sewa/cukai tanah di pulau ini yang bernilai kurang RM1,00 setahun dan dimiliki lebih daripada seorang pemilik dan kadar tersebut terlalu rendah kerana kadar sewa/cukai tidak pernah di kaji semula sejak sekian lama” katanya.