25.5 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KWP arah tingkatkan operasi pemantauan pelangaraan SOP

Oleh: Jainudin Djimin

LABUAN : Kerajaan  melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengarahkan kepada pihak berkuasa tempatan (Perbadanan Labuan) untuk  meningkatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan pelanggaran SOP sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dalam satu kenyataan di sini berkata arahan itu bertujuan untuk  mencegah penularan COVID 19 yang semakin meningkat dan membimbangkan.

Beliau berkata Perbadanan Labuan  telah menjalankan Ops Pemeriksaan Pematuhan SOP PKPB dan Lesen Perniagaan Perbadanan Labuan (PL) di beberapa buah  premis perniagaan di sekitar bandar Labuan, pada Ahad.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 9 malam hingga 1 pagi itu  melibatkan  anggota Penguatkuasa Perbadanan Labuan   yang   diketuai oleh Pengarah Jabatan Penguatkuasaan (JP) Perbadanan Labuan, Musa Bariong.

Operasi tersebut turut disertai oleh anggota Task Force PDRM.

“ Sepanjang tempoh PKPB, sebanyak 23 premis hiburan  telah diberi kebenaran   sementara beroperasi sebagai restoran bistro  bagi membantu ekonomi peniaga berkenaan”

“Bagaimanapun dua daripada premis berkenaan telah didapati melanggar  syarat lesen dan telah dikenakan kompaun.

“Tindakan kompaun juga turut dikeluarkan oleh PDRM  kepada salah sebuah premis berkenaan  berjumlah RM10,000, selain 50 individu yang mengunjungi premis berkenaan juga dikompaun  kerana tidak mematuhi SOP PKPB Akta 342” katanya.

Sementara itu katanya, operasi tersebut telahpun di maklumkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

“Beliau (Annuar Musa) mengarahkan supaya Perbadanan Labuan meningkatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan di Wilayah Persekutuan Labuan dan  beliau turut  memandang serius pelanggaran SOP dan mengarahkan PL mengambil tindakan tegas bagi mencegah penularan COVID 19 yang semakin meningkat” katanya.

TAMAT

GAMBAR: OPERASI…. Dr Fary bersama anggota Penguatkuasaan Perbadanan Labuan  siap sedia untuk  memulakan operasi brkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN