James menerima cendermata disampaikan Dr. Asits
KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr. Asits bin Sanna telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James bin Ratib pada hari Isnin.
Kunjungan tersebut dibuat selepas beliau dilantik sebagai Pengarah JKNS yang baharu menggantikan Datuk Dr. Rose Nani Mudin yang bersara wajib.
Turut menyertai kunjungan hormat tersebut adalah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Maria Suleiman; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Datuk Dr. Abd. Kahar bin Abd. Asis; dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Dr. Liau Siow Yen.
Antara intipati kunjungan hormat tersebut adalah perbincangan mengenai hala tuju pembangunan kesihatan di negeri Sabah.
Hal-hal tersebut termasuklah inisiatif pembaikan klinik-klinik daif dan naik taraf status beberapa hospital di Sabah menjadi hospital negeri, hospital pakar major dan minor serta isu kekurangan petugas kesihatan yang berkhidmat di negeri Sabah terutamanya jawatan Pegawai Perubatan dan Jururawat.
Dalam masa yang sama, Dr. Asits juga dengan takzimnya mengundang James untuk merasmikan Kolokium Kesihatan Awam Kali Ke-15 Tahun 2023 pada 26 September 2023 akan datang, bertempat di ITCC Penampang, Sabah.
Di akhir pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menzahirkan harapan agar kerjasama padu yang telah terjalin erat ini melibatkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dapat dikekalkan dan dimanifestasikan melalui kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negeri Sabah.