ADVERTISEMENTspot_img

Kubur Zara Qairina akan digali semula: Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan penggalian semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan bedah siasat dijalankan demi melengkapkan siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

AGC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, arahan itu dikeluarkan selepas meneliti laporan siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapati terdapat keperluan untuk mendapatkan maklumat serta bukti tambahan.

“Laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan.

“Langkah ini penting bagi memastikan semua aspek siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bagi membantu pihak polis melengkapkan kertas siasatan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, peguam keluarga mangsa, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, menyatakan harapan agar proses penggalian semula dilaksanakan bagi menentukan punca sebenar kematian. Mereka turut menggesa agar siasatan dikendalikan pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.

Bagi membantu siasatan, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan antara beliau dan anaknya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu semalam. Beliau juga memberi keterangan selama lebih empat jam kepada pegawai penyiasat.

Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia pada 16 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah. Kejadian itu mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial, termasuk dakwaan wujud unsur jenayah dan buli.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN