27.1 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 22, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KUALITI BUAH-BUAHAN TERJEJAS AKIBAT MUSIM TENGKUJUH BERPANJANGAN DI RANAU

Mohammad Din Lai Abdullah….

RANAU: Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan berpanjangan sepanjang tiga bulan kebelakangan ini menjejaskan kualiti beberapa jenis buah-buahan dan benih yang diusahakan oleh petani disekitar Daerah Ranau.

Seorang petani buah-buahan, Mohammad Din Lai Abdullah, 55 tahun, ketika ditemui menyatakan, cuaca hujan yang berpanjangan menyebabkan tanaman nangka madu, limau dan jambu batu yang diusahakannya mengeluarkan hasil yang kurang berkualiti disamping beberapa batang benih nagka madu, pokok limau dan jambu batu turut rosak akibat terlalu terdedah dengan air hujan dan suhu yang lembab.

Katanya, sekitar 350 batang pokok nangka madu dikebun seluas enam ekar di Kg. Pasir Putih yang diusahakan sejak sepuluh tahun lepas telah mengeluarkan buah yang kurang berkualiti akibat menerima taburan hujan yang berpanjangan sejak tiga bulan lepas dan impaknya menyebabkan buah kebanyakan buruk termasuk rasa kurang manis dan saiz yang agak mengecil.

‘’Sebelum ini rasa nangka madu yang saya jual begitu manis, wangi dan saiznya juga besar. Tetapi akibat daripada kurangnya cahaya matahari dan terlalu terdedah dengan air hujan yang berpanjangan, kualiti buah nangka madu sangat mendukacitakan’’, keluh Mohammad Din atau biasa dipanggil Ah Lai bagi kebanyakan penduduk yang mengenalinya.

Ah Lai menunjukkan buah nangka madu yang terpaksa dibuang akibat tidak berkualiti

Tegasnya lagi, kemerosotan kualiti buah-buahan turut mempengaruhi pendapatan bulanan beliau yang sebelum ini agak lumayan pada hari cuaca yang baik iaitu jualan nangka madu boleh mencecah RM 10,000 sebulan. Namun dimusim tengkujuh yang berpanjangan ini, pendapatannya merosot kepada sekitar RM 3,000 ke RM 4,000 sebulan itupun bergantung kepada permintaan semasa pelanggan.

Selain itu, beliau turut menyatakan bungkusan benih yang disemainya kebanyakan tidak menjadi dan terpaksa dibuang. Jelas beliau, setakat ini sahaja sekitar 100 bungkus benih nangka madu termasuk benih limau dan jambu batu telah rosak kerana proses tumbuh besar tidak menjadi ekoran kurangnya pencahayaan matahari selain tanah yang terlalu lembab dan berair faktor daripada fenomena hujan berpanjangan.

Antara benih limau yang terbantut tumbuh besar akibat musim tengkujuh berlarutan

‘’Buah nangka madu juga banyak yang tidak dapat dipasarkan. Dalam seminggu, saya memetik sekitar 100 biji buah nangka madu di kebun, tetapi yang hanya berkualiti untuk dijual sekitar 30 hingga 40 biji sahaja, yang lain semua rosak dan terpaksa dibuang begitu saja’’, jelasnya.

Walaupun beliau akur dengan ketentuan cuaca yang tidak mengizinkan, namun beliau juga berharap agar suatu inisiatif dapat diwujudkan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian untuk membantu para pekebun buah-buahan yang terjejas akibat musim tengkujuh ini.

Katanya, jika diizinkan, beliau berharap kementerian berkenaan membuat tinjauan disekitar kebun-kebun buah-buahan untuk menilai sendiri kualiti buah yang diperolehi sepanjang musim tengkujuh ini agar lebih jelas mengenai keluhan yang dilontarkan seterusnya dapat membuka ruang sebarang bentuk bantuan sewajarnya kepada petani terjejas.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN