Ah Lai dihadapan gerai miliknya di Hakka Food Court, Ranau
RANAU: Selain terkenal dengan keaindahan Gunung Kinabalu dan kedinginan udara segar, daerah Ranau turut terkenal dengan pengeluar pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, manggis, nangka madu dan cempedak. Para petani akan menuai hasil mereka sekitar bulan September hingga penghujung bulan Oktober setiap tahun yang membolehkan mereka menikmati hasil jualan lumayan menerusi penjualan hasil tani yang diusahakan di sekitar perkampungan daerah ini.
Ungkapan ‘Ku Sangka Panas Hingga Ke Petang, Rupanya Hujan Di Tengahari’ cukup untuk menggambarkan betapa sedihnya para petani buah-buahan disekitar daerah Ranau yang terjejas hasil jualan akibat Pendemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Jika sebelum ini, para petani buah-buahan mampu meraih keuntungan mencecah ribuan ringgit menerusi hasil jualan mereka, penularan wabak Covid-19 benar-benar memberi kesan langsung kepada hasil pendapatan mereka.
Seorang petani dan penjual buah dikenali sebagai Ah Lai yang mengusahakan tanaman buah Nangka Madu, Manggis dan Pisang di Hakka Food Court menyatakan, hasil jualan harian beliau amat terjejas. Katanya, sebelum ini, pendapatan bulanan boleh mencecah lima angka, namun sejak penularan pendemik Covid-19, pendapatan beliau terjejas hingga mencecah hanya ratusan ringgit sahaja.
‘’Bukan pendapatan sahaja terjejas, malah banyak buah-buahan saya terpaksa buang begitu sahaja kerana buruk disebabkan tiada pasaran atau pelanggan membelinya’’, luah pengusaha berusia 56 tahun ini.
Seorang lagi petani dan penjual buah durian dikenali sebagai Ah Meng, 50, beliau menyatakan pendapatannya amat terkesan ketika ini kerana kekurangan pelanggan. Tegasnya pada ketika ini, ladangnya mampu mengeluarkan durian sehingga lebih daripada 50 biji setiap hari, namun untuk menjualnya amat sukar. Bagaimanapun beliau akur kerana memahami situasi yang berlaku ketika ini.
‘’Kalau sebelum ini, hasil jualan durian memang lumayan di daerah Ranau. Malah boleh dihantar ke Bandaraya Kota Kinabalu untuk dijual kepada para peraih durian di sana. Namun apa boleh buat, ini semua kita tidak boleh halang, apa yang penting, kita sama-sama bantu pihak berkuasa memutuskan rantaian Covid-19’’, tegasnya.
Luahan sama turut dilontarkan oleh seorang lagi peniaga durian dari Kampung Luanti, Ranau dikenali sebagai Sylvia Gusipin, 40 tahun yang mengakui pendapatannya turut terjejas sepanjang penularan pandemik Covid-19. Beliau mengusahakan gerai durian berdekatan dengan Pusat Tagal Kg. Luanti Baru yang sebelum ini amat terkenal dengan kunjungan pelancong dari dalam dan luar negeri Sabah.
‘’Durian terpaksa dijual pada kadar harga terlalu rendah sehingga mencecah RM 3.00 sekilo walaupun dari jenis baka yang berkualiti. Tidak dapat dielakkan, kalau tidak ia akan buruk dan sukar untuk dijual’’, jelasnya sambil mengharapkan wabak maut ini terus lenyap dari muka bumi.
Tinjauan disekitar Pekan Ranau mendapati keadaan sedikit lenggang khasnya di kawasan pasar tani kerana sekatan rentas daerah yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19. Namun demikian, usaha kerajaan itu amat dialu-alukan oleh senegap lapisan masyarakat di daerah ini.- TAMAT
Ah Lai dihadapan gerai miliknya di Hakka Food Court, Ranau
Sylvia bersama hasil jualan durian di gerai miliknya di Kg. Luanti Baru, Ranau.