ALIAS (tengah) bersama AJK KRT Kampung Rancha-Rancha Darat / Kampung Rancha-Rancha Laut bersemangat selepas mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung.
LABUAN: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rancha-Rancha Darat dan Laut telah mengagihkan kira-kira 300 bendera Jalur Gemilang kepada penduduk kampung tersebut.
Pengerusi KRT Kampung Rancha-Rancha Darat dan Laut, Alias Asri berkata Ahli Jawatankuasa (AJK) KRT telah memasang 100 Jalur Gemilang di laluan utama dan lokasi tumpuan orang ramai di kampung tersebut.
Jelasnya, KRT turut menyerahkan 100 Jalur Gemilang ke rumah-rumah penduduk kampung dan AJK KRT sendiri.
“KRT turut mengedarkan 100 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR).
“Saya berharap penduduk kampung tidak ketinggalan untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang di premis dan kenderaan masing-masing,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai 15 AJK KRT mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung sempena Program Kibar Bendera Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan Tahun 2022 pada Sabtu lalu.
Sementara itu, salah seorang AJK KRT, Yatie Othman bangga dapat membantu mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung dan orang ramai yang melalui Jalan Rancha-Rancha.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya menunjukkan kesetiaan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan kenderaan masing-masing,”katanya.
SERAH… Asri menyerahkan Jalu Gemilang kepada penduduk kampung Rancha-Rancha
Yatie berkata, semangat merdeka ini sewajarnya disemarakkan kepada semua penduduk kampung khususnya generasi muda dan kanak-kanak.
Alias Asri tidak lupa mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen AJK KRT yang bukan sahaja membantu melaksanakan program tersebut tetapi menyemarakkan Bulan Kemerdekaan Tahun 2022.
Beliau berharap Kampung Rancha-Rancha dihiasi bendera Jalur Gemilang sekaligus memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.
“Kita bukan sahaja seronok mengibarkan Jalur Gemilang tetapi mahu generasi muda menghayati pengorbanan pejuang tanah air,”katanya.
Alias turut mengucapkan terima kasih kepada individu yang menyumbangkan Jalur Gemilang yang dipasang dan diedarkan dari pukul 2 hingga 5 petang itu.