26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 17, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Krisis Bekalan Elektrik di Sabah dan Labuan: Hampir 600,000 Isi Rumah Dijangka Terjejas Mulai 1 Ogos



KOTA KINABALU, 30 Julai – Sekitar 600,000 isi rumah di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka terjejas akibat pelaksanaan catuan bekalan elektrik secara bergilir mulai 1 hingga 7 Ogos, menurut Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity (SE), Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, berkata gangguan itu berpunca daripada penyelenggaraan berjadual oleh Petronas di platform gas luar pesisir dan terminal pemprosesan darat, yang memaksa penghentian sementara bekalan gas kepada dua loji jana kuasa bebas (IPP) utama di Kimanis – Kimanis Power Sdn Bhd (255MW) dan SPR Energy (100MW).

“Disebabkan kegagalan loji-loji tersebut beroperasi menggunakan diesel seperti yang dirancang, berlaku kekurangan tenaga sekitar 195MW sepanjang tempoh penyelenggaraan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau, rundingan melibatkan SE, Suruhanjaya Tenaga, ECOS, dan Petronas telah diadakan sejak awal tahun. Namun, hanya malam tadi SE dimaklumkan bahawa satu unit utama Kimanis dan keseluruhan loji SPR tidak dapat beroperasi menggunakan diesel.

Akibatnya, hampir 200,000 pengguna berdaftar akan terkesan, dengan catuan bekalan dijadualkan secara bergilir antara jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. Gangguan dijangka berlangsung antara satu hingga dua jam bagi setiap kawasan terlibat.

Sabah Electricity turut merayu kepada Petronas agar menangguhkan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut, mengambil kira cuaca panas semasa dan peningkatan permintaan tenaga.

“Satu mesyuarat penting antara ECOS dan Petronas dijadualkan berlangsung petang ini. Keputusan rundingan itu akan menentukan sama ada langkah catuan dapat dielakkan,” kata Yaakob.

Sabah Electricity menasihatkan pengguna agar merancang penggunaan tenaga dengan lebih bijak dan merujuk saluran rasmi bagi maklumat terkini berhubung jadual gangguan.




ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN