Oleh: Marryan Razan
MEMBAKUT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan peruntukan RM3 juta untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur asas di 10 buah Kampung Sejahtera yang dikenalpasti di seluruh Sabah tahun ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kampung pertama yang dipilih sebagai Kampung Sejahtera tahun ini ialah Kampung Tiong Baru Membakut.

Beliau berkata, pemilihan tersebut berdasarkan kepada keperluan pembangunan asas di kampung itu yang masih berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk ketiadaan bekalan elektrik dan air terawat.
“Kampung ini kita kenalpasti tahun lalu lagi dan ada beberapa kampung lagi yang kita terima cadangan daripada pejabat daerah dan wakil rakyat tetapi oleh kerana kita hanya mensasarkan 10 buah kampung setiap tahun maka pada tahun ini kita masukkan kampung-kampung berkenaan untuk kita laksanakan tahun ini.
“Sembilan lagi kampung yang kita kenalpasti untuk program kampung sejahtera tahun ini antaranya di daerah Kota Belud, Keningau, Nabawan dan Paitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Kampung Sejahtera di Dewan Kg.Tiong Baru Membakut, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat, Penolong Pegawai Daerah Kecil Membakut Haji Awang Syairin, para pegawai KPLB Sabah, pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta pemimpin setempat.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, setakat ini KPLB Sabah telah melaksanakan Program Kampung Sejahtera di 60 buah kampung seluruh Sabah sejak ia diperkenalkan pada 2010.

“Menjelang hujung tahun 2020 kita menjangkakan dapat mewujudkan 70 buah kampung sejahtera kerana sasaran kita setiap tahun ialah 10 buah kampung bagi memastikan rakyat yang tinggal di kawasan terpencil di negeri ini menikmati kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air.
“Bagaimanapun pada awal pelaksanaan program ini, tidak banyak kampung yang dipilih kerana kita belum melihat keberkesanannya. Apabila kita dapati program ini memang baik dan dapat membantu menyelesaikan masalah infrastruktur asas kampung terpilih maka peruntukannya ditambah sedikit demi sedikit setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, program Kampung Sejahtera di bawah KPLB Sabah bermatlamat membangunkan secara berperingkat kemudahan asas dan sosio-ekonomi kampung-kampung di luar bandar yang terletak jauh dan terpencil di seluruh pelusuk negeri ini.
“Konsep kampung sejahtera ialah memilih kampung terpinggir yang mempunyai pelbagai isu infrastruktur asas. Walaupun Kg.Tiong Baru sudah ada jalan raya yang baik berbanding kampung-kampung lain namun masih ada isu lain seperti pembangunan ekonomi.
“Sebab itu kita turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan lain yang bersesuaian termasuk Jabatan Pertanian untuk membantu melaksanakan program pembangunan ekonomi.
“Antara program pembangunan ekonomi yang kita kenalpasti untuk dilaksanakan penduduk Kg.Tiong Baru ialah mengembangkan aktiviti sedia ada seperti tanaman lada hitam, getah dan sayur-sayuran bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka,” katanya.

Terdahulu ketika merasmikan majlis itu, Ewon mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi menaiktaraf jalan ke gereja dan Dewan Kg. Tiong Baru serta membina perhentian bas.
Selain itu beliau turut menyampaikan sumbangan touchpoint sebanyak RM5,000 untuk kegunaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg.Tiong Baru Membakut menjalankan kerja-kerja pentadbiran kampung.-TAMAT-



