24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Salur Bantuan Kepada 42,569 Orang Setakat 14 April

http://bantuan.covid19.sabah.gov.my


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyalurkan bantuan ‘Sabah We Care Special Package Covid-19’ kepada seramai 42,569 orang penerima setakat 14 April ini.
 
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, KPLB Sabah dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan bantuan khas kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah pakej bantuan itu yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada Mac lalu.
 
“KPLB Sabah juga telah menyalurkan bantuan khas ini kepada golongan B40 yang tersenarai sebagai kategori terkeluar dalam sistem e-Kasih, peserta Ladang Mini Estate Sejahtera (MESEJ), malim gunung dan porter serta pada awalnya juga kepada pekebun kecil sawit, koko dan getah, penternak dan nelayan.
 
“Setakat 14 April 2020, KPLB Sabah telah menyalurkan bantuan khas ini kepada 42,569 orang dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM16,845,900,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
 
Ewon berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10,188,000 diperuntukkan kepada seramai 20,376 orang yang tersenarai dalam e-kasih. Mereka menerima bantuan khas sebanyak RM500 seorang.
 
“Seramai 12,467 orang yang terkeluar dalam e-kasih menerima sejumlah RM3,740,100,  seramai 236 peserta Ladang MESEJ (RM70,800), Malim Gunung & Porter 313 orang (RM93,900), Pekebun Kecil Sawit seramai 54 orang (RM16,200), Pekebun Kecil Koko (2,019 orang (RM605,700)).
 
“Pekebun Kecil Getah (5,971 orang (RM1,791,300), Penternak (460 orang (RM138,000)) dan nelayan 673 orang (RM201,900),” katanya dan menambah, kesemua peserta itu menerima bantuan khas sebanyak RM300 seorang.
 
Beliau berkata, bantuan itu telahpun disalurkan kepada akaun bank penerima.
 
“Manakala, bagi penerima yang belum mempunyai akaun bank, pembayaran secarai tunai ke rumah penerima oleh Pejabat Daerah bersama-sama dengan Pejabat UPPM dan Jabatan Kebajikan.
 
“Bagi kategori pekebun kecil sawit, koko dan getah, penternak dan nelayan yang selebihnya, penyaluran bantuan khas kini sedang dilaksanakan oleh agensi/jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Sabah,” katanya.
 
Ewon berkata, KPLB Sabah kini hanya memfokus kepada pembayaran bantuan khas bagi mereka yang berdaftar dalam sistem e-Kasih dan kementerian sedang memproses baucer pembayaran bagi penerima-penerima yang selebihnya.
 
“Saya akan memberi kenyataan selanjutnya berkenaan status semasa penyaluran bantuan ini.
 
“Bagi rakyat yang tergolong dalam B40 tetapi tidak berdaftar dalam e-Kasih, mereka boleh mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan dengan melayari pautan http://bantuan.covid19.sabah.gov.my,” katanya.

Ends.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN