24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Perkenal 11 Program Baharu Basmi Kemiskinan

OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menggariskan pelbagai strategi bagi mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini termasuk  memperkenalkan 11 program baharu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata program pembasmian kemiskinan sedia ada yang dilaksanakan ialah Program Mini Estate Sejahtera (MESEJ), Program Peningkatan Ekonomi Setempat, Program Kampung Sejahtera dan Keusahawanan Desa.

Dari Kiri: Foong, Aidi dan Ewon

“Kementerian saya memperkenalkan program baharu yang akan dilaksanakan tahun hadapan, antaranya Program Rumah Sejahtera Rakyat (RSR), Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA), Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Program MESEJ Pertanian Bukan Komoditi dan Perusahaan Burung Walit Skala Sederhana.

“Selain itu, kita juga memperkenalkan Program Satu Daerah Satu Produk (SDSP), Program Bimbingan Usahawan Desa, Kolaborasi Dengan Kementerian Lain, Lawatan Pendedahan Peserta MESEJ Ke MESEJ Yang Berjaya, Membuka Ladang Mesej Baharu Dengan Tanaman Makanan, Mewujudkan Pusat Pelancongan Luar Bandar Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism),” katanya pada seisi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong, Julita Mojungki yang bertanya pendekatan atau program baharu pembasmian kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar yang diperkenalkan kementerian.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, program Bimbingan Keusahawan Desa bertujuan memberikan bimbingan, pengetahuan dan latihan kemahiran kepada masyarakat luar bandar agar mereka dapat memulakan perusahaan sendiri. Manaka Program Satu Daerah Satu Produk pula bertujuan menyediakan kemudahan bengkel, peralatan dan mesin yang berkaitan kepada kelompok peserta di bawah bimbingan Kementerian di suatu daerah.

Ewon (kiri) bersama rakan-rakan menteri kabinet

“Bagi menjayakan program-program itu, kita bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) dalam bidang keusahawanan; dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar (KePKAS) dalam bidang eko-pelancongan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, program sedia ada seperti MESEJ akan diperkasakan lagi dengan membuka Ladang Mesej Baharu Dengan Tanaman Makanan.

“KPLB Sabah mempunyai tanah simpanan yang agak luas di seluruh Sabah dan berhasrat membuka tanah-tanah tersebut dengan tanaman makanan selain mengekalkan MESEJ sedia ada iaitu Kelapa Sawit dan Getah,” katanya.

Mengenai Pembangunan Pusat Pelancongan Luar Bandar Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism) Ewon berkata, pada tahun ini program itu dimulakan di kawasan Kadamaian melibatkan dua buah kampung yang giat melaksanakan aktiviti berkaitan eko-pelancongan.

“Dua projek pembangunan tersebut ialah, menyelenggara bangunan Pusat Pameran Pelancongan di Kg.Sayap dan membina kemudahan Pusat Pelancongan dan Trek Pejalan Kaki di Kg.Sayap dan Kg.Kiau.

“Selain itu, kementerian juga telah membangunkan dua MESEJ Pelancongan, iaitu di MESEJ Kaingaran Tambunan dan MESEJ Kinolosodon Papar,” katanya.

Di samping itu katanya, bagi memajukan usahawan desa dibawah KPLB Sabah, kementeriannya juga telah membina sebuah Pusat Kemahiran Masyarakat (PKM) di Kg Pinawantai dengan sebuah Bengkel Kraftangan Tempurung dan bengkel-bengkel kemahiran seperti Bengkel Kraf Tenunan Rungus di Kg Radtak, Bengkel Pemprosesan Minyak Kelapa Dara dan Bengkel Kosmetik di Pekan Matunggong, Bengkel Pembuatan Gong Kg Sumangkap, Bengkel Pengumpulan dan Pemprosesan Madu Lebah di Kg Gombizau, Bengkel Kraftangan Ribu-Ribu di Kg Timug, Bengkel Menjahit dan Bengkel Kraftangan Manik di Kg Tinangol.

“Dalam tempoh dua tahun ini, iaitu 2018 dan 2019, para usahawan luar bandar di bawah bimbingan Kementerian saya telah mencapai beberapa kejayaan antaranya Anugerah Usahawan Wanita Terbaik iaitu Zaharinah Masair sempena Karnival Usahawan Desa 2019 di Kota Kinabalu yang mencatatkan jumlah jualan tertinggi sebanyak RM55,888.

“Anugerah Pencapaian Cemerlang Industri Asas Tani Peringkat Negeri Sabah (Rongie Onginjan) dan penerima Geran Persijilan GMP dan LGP oleh Malaysia Productivity Corporatiob (MPC) oleh Norcy Ahiddin sempena Karnival Usahawan Desa 2019 di Putrajaya.

“Produk-produk yang dihasilkan oleh para usahawan berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura, China, Perancis dan Brunei,” katanya.

Ewon berkata, kejayaan usahawan-usahawan di bawah program KPLB Sabah juga diiktiraf dan diakui oleh Ketua Menteri semasa membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2020 pada hari Jumaat lepas.

“Selain program-program itu, saya dan pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah kerap mengadakan Program Turun Padang ke kawasan luar bandar dalam usaha merangka dan merancang program-program pembasmian kemiskinan yang lebih tersasar dan berkesan,” katanya.-TAMAT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN