31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Diberi Peruntukan Pembangunan RM109.2 juta

OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah diberikan peruntukan pembangunan RM109.2 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan luar bandar sepanjang tahun 2020.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya juga menerima Peruntukan Mengurus sebanyak RM15,133,830.

Ewon (tengah) bersalaman dengan TKM, Christina, sambil diperhatikan Poon

“Jika diukur dari segi cukup atau tidak cukup, sememangnya peruntukan tersebut tidak akan mencukupi untuk melaksanakan semua program pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat di luar bandar.

“Bagaimanapun, apa juga jumlah yang telah diperuntukkan, Kementerian saya akan menggunakan sebaiknya untuk melaksanakan inisiatif program-program baharu di samping menambahbaik dan memperkasa program-program sedia ada,” katanya.

Ewon

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut Datuk James Ratib yang bertanya sama ada peruntukan yang diberikan kepada KPLB Sabah mencukupi untuk melaksanakan inisiatif program-program baharu tersebut, pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di sini, kelmarin.

Ewon turut menjawab soalan Adun Tambunan Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bertanyakan berkenaan perincian peruntukan untuk kesemua inisiatif program baharu yang akan dilaksanakan KPLB Sabah dalam Belanjawan Sabah Tahun 2020.

Beliau berkata, kod projek bagi inisiatif program-program baharu yang ingin diperkenalkan oleh semua kementerian hanya dapat dilakukan semasa Rancangan Malaysia Ke-12 bermula tahun 2021.

“Justeru, peruntukan bagi melaksanakan inisiatif program-program baharu KPLB Sabah disediakan di bawah kod projek sedia ada. Kod-kod projek sedia ada di bawah KPLB Sabah adalah Projek Pembangunan Kecil, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Satu Daerah Satu Industri, Pembangunan Usahawan Desa, Pembasmian Kemiskinan dan Projek Khas,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan syor daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan daerah dan kampung mana yang akan dipilih untuk melaksanakan inisiatif program baharu tersebut.

“Kementerian akan menimbang tara sama ada setiap syor tersebut sesuai dan boleh dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan yang tersedia,” katanya.-TAMAT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN