LABUAN:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan menyenaraikan 18 barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2022 yang berkuat kuasa pada 26 April hingga 6 Mei ini.
Pengarahnya, Junaidah Arbain (gambar)dalam satu kenyataan media di sini berkata barangan tersebut termasuk daging lembu import dari India, ikan, sayur dan buah-buahan.
Beliau berkata, 18 barangan SHMMP itu ialah daging lembu import dari India dengan harga runcit RM22 sekilogram ikan kembung termasuk kembung India RM11 sekilo, ikan selayang bagi lapan ke 12 ekor RM9, tomato RM6 sekilo, cili merah RM17 sekilo, kubis bulat import dari Indonesia dan China tidak termasuk Beijing RM3.50 sekilo, kacang panjang RM6 sekilo, terung panjang RM9 sekilo dan timun RM4 sekilogram.
Sembilan lagi barangan lain ialah bawang besar RM6 sekilogram, bawang Holland RM6 sekilo, bawang putih China RM8.50 sekilo), cili kering RM20 sekilo, kacang tanah RM9 sekilo, halia tua import RM13 sekilo, kelapa borong pada harga RM1.60 sebiji dan kelapa parut RM6.50 sekilogram.
“Bagaimanapun peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya bekalan barang diperolehi pada harga yang lebih murah” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan para peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh didenda bagi peniaga individu sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000” katanya.
“Pegawai penguat kuasa kementerian akan sentiasa melakukan pemantauan harga di lapangan seperti di pasar basah, pasar raya dan pasar raya besar sepanjang tempoh SHMMP dilaksanakan” katanya.