Awang ketika melakukan pemeriksaan di salah sebuah pasaraya disini
Oleh: Orzora
KENINGAU:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Keningau mengenakan tindakan terhadap 40 kes dengan kutipan kompaun sejumlah RM4,900 melibatkan pemeriksaan sebanyak 2,475 premis bagi tempoh Januari hingga April.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Awang Azri Biahi daripada jumlah pemeriksaan tersebut ianya termasuk 889 premis di Luar Bandar iaitu di Daerah Nabawan, Tambunan dan Tenom.
Katanya, pada tempoh yang sama cawangan setakat ini menerima aduan sebanyak 37 aduan pengguna.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media di sini baru -baru ini.
Sementara itu, KPDNHEP Cawangan Keningau akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa menjelang Hari Raya Aidil Fitri Tahun 2021 melibatkan 10 barangan harga terkawal bermula dari 21 April hingga 20 Mei 2021.
Oleh itu katanya, KPDNHEP Cawangan Keningau menasihati para peniaga agar mematuhi pelaksanaan SHMMP Perayaan Hari Raya Puasa tahun 2021 dan tidak menjual melebihi harga seperti yang telah diwartakan.