Pegawai Penguatkuasa KPDN ketika melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan di pusat bandar.
LABUAN: Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 4,583 bagi tempoh Januari hingga 19 Mac 2026, membabitkan 44 kes kompaun bernilai RM22, 000 dan nilai rampasan berjumlah RM11, 716.80.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata darpada jumlah pemeriksaan itu sebanyak 1,593 pemeriksaan dihasilkan menerusi Ops Pantau 2026 membabitkan 13 tindakan kes kompaun bernilai RM3, 700 serta nilai rampasan berjumlah RM477.00 direkodkan.
“Operasi yang dilaksanakan bermula 19 Februari itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kepentingan pengguna sepanjang bulan Ramadan dan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri” , katsnya dalam satu kenyataan di sini.
Junaidah menjelaskan, pecahan kes menunjukkan kesalahan tertinggi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] sebanyak 29 kes, diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] sebanyak 7 kes, Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] sebanyak 5 kes, Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] sebanyak 2 kes dan 1 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].
Dalam tempoh yang sama, sebanyak 34 aduan awam telah diterima dan kesemuanya berjaya diselesaikan dalam tempoh siasatan kurang daripada 14 hari.
KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus mempergiatkan keseluruhan aktiviti penguatkuasaan serta advokasi bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga.



