Barbara (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam (kiri) menunjukkan produk Kopi Apai keluaran Ranau
RANAU: Kopi Apai atau ‘kopi bapa’ yang diasaskan usahawan tempatan, Barbara Bongkok berpotensi untuk memperkenalkan semula Ranau sebagai satu lagi daerah pengeluar Kopi terkenal dalam masa terdekat.
“Perniagaan ini dimulakan pada Mac 2018 dengan pendedahan dan ilmu kopi daripada Jabatan Pertanian Ranau. Kami perlahan-lahan berkembang dengan usaha yang tidak pernah putus untuk mencari kualiti yang dipertingkatkan.
“Pada Julai 2018 saya mendaftarkan jenama ‘Apai’ dengan Harta Intelek. Dalam bahasa Iban ia bermaksud ‘Bapa’. Simboliknya Kopi Apai menjadi “bapa kopi Ranau.
Katanya, selama setahun jenama kopi apai menjadi bahan kelakar oleh masyarakat sekitar sini yang mengaitkan ‘apai’ dengan ‘tapai’, namun hal itu tidak mematahkan semangatnya.
Barbara (kanan) bersama MP Ranau merangkap Timbalan Menteri II Kementerian Dalam Negeri, YB Datuk Jonathan Yasin dalam satu program memasarkan produk tempatan di sini baru-baru ini
“Kami terus menyasarkan untuk membina kapasiti syarikat ini untuk menjadi syarikat pertama di Ranau yang mengeluarkan produk kopi dari ladang kopi di Kampung Toboh Lama Ranau,” katanya.
Di samping itu, Barbara menambah bahawa semua proses pembuatan dan pengeluaran dilakukan melalui “handmade” atau buatan tangan untuk memastikan semua produk kopi syarikat adalah produk berkualiti tinggi.
“Kopi kami diproses daripada Biji Kopi Arabica Typica dan Arabica Catimor. Keadaan iklim sejuk yang ideal pada suhu rendah dan dengan hujan tropika yang mencukupi. Ini memberi anda pengalaman kopi sebenar,” katanya.
Menurut Barbara, pada masa ini pasaran kopi itu seperti di Hypermarket Bataras di Bundusan, ITCC Penampang, Putatan dan Kelombong, di Coop Mart Beaufort, Red Hill Ranau, Agro Bazaar Super Market Sumaang Baru Ranau, Mini Market Polo Ranau, Online GoNet, IKS Mart Kiaaburi Plaza Ranau dan di Pasaraya Sabindo Ranau.
Bagi ejen tempatan, syarikat itu mempunyai rangkaian di Papar, Kuala Penyu, Kota Belud, Tawau dan Vinmanja Bake. Beliau berkata syarikat itu juga dalam proses menembusi pasaran global di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
Tiga jenis produk kopi termasuk uncang kopi 2in1, 3in1, Hazelnut dan Cappucino; Serbuk Kopi Hitam dan Biji Kopi Panggang.
“Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kami boleh menghubungi kami di Apai Coffee Jalan Tambiau Serapong, Peti Surat 432, 89308 Ranau, Sabah dan talian telefon di 0163864029 atau E-mel kopiranauofficial@gmail.com. Kopi Apai juga boleh didapati di Facebook dan Instagram ,” katanya.
Beliau berkata buat masa ini Apai Sdn Bhd mempunyai dua produk iaitu Kopi serta eko pelancongan.
Bagi bahagian pelancongan eko, tarikan utama adalah bengkel kopi dan pemandangan semula jadi di sekitar premis, di mana Gunung Kinabalu yang megah berdiri dengan pemandangan penuh di tengah-tengah bukit hijau di sekelilingnya.
Barbara berkata, buat masa ini, pelanggan mereka boleh membeli kopi pilihan enam perisa pada harga murah terutama apabila mereka datang secara walk-in ke bengkel yang terletak di Jalan Tambiau Serapong.