Penyerahan resolusi oleh Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun
TUARAN: Konvensyen Pendidik Bahasa Etnik Sabah Tahun 2024 yang bertema “Kesepakatan Usaha Memberdaya Bahasa Etnik” telah dilaksanakan dengan jayanya pada 18 hingga 19 November 2024 iaitu bersamaan hari Isnin dan Selasa di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent.
Konvensyen anjuran Jabatan Bahasa Kadazandusun dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) turut dijayakan dengan kehadiran YBhg. Datuk Haji Raisin Bin Saidin, Pengarah JPNS merangkap perasmi pembukaan konvensyen, YBrs. Dr Hamidah Binti Samsudin, Pengarah IPGM Kampus Kent merangkap perasmi penutupan konvensyen, Prof Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, CEO Institute for Development Studies (IDS) Sabah), Dr Azlan Shafie Abdullah @ Raymond Majumah, Presiden Persatuan Penulis Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA), Dr. Henry Bating, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), para pensyarah, guru-guru besar, guru-guru Bahasa Kadazandusun, siswa guru Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).
Konvensyen Pendidik Bahasa Etnik Sabah 2024 ini diadakan dengan matlamat utama untuk memperkukuhkan pemeliharaan bahasa etnik serta meningkatkan kualiti pengajaran bahasa dalam kalangan pendidik di negeri ini.
Acara ini bertujuan untuk menarik perhatian para pendidik, ahli bahasa, dan penggiat budaya dan antara pengisian konvensyen ini ialah pembentangan kertas kerja dan forum oleh penggiat dan persembahan.
Sebanyak 5 kertas kerja telah dibentangkan dan dimulakan dengan ucaputama pengarah IPGM Kampus Kent yang bertajuk, “Peranan IPGM dalam memperkasakan latihan guru bahasa etnik di Malaysia” yang mengetengahkan Pembentangan yang pertama bertajuk, “Inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa etnik (Bahasa Kadazandusun)” yang dibentangkan oleh Cikgu Joanne Siam dan Cikgu Arlynz Esty Alouis.
Pembentangan kedua bertajuk, “Peranan dan usaha IPGM Kampus Kent dalam pemartabatan Bahasa Kadazandusun” oleh Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah yang mengetengahkan peranan yang dilaksanakan oleh IPGM Kampus Kent sebagai Tier 1 bidang Bahasa Kadazandusun.
Pembentangan ketiga bertajuk, “Elemen budaya dan kearifan lokal dalam pembangunan kurikulum bahasa etnik”, oleh Puan Helena Binti Sangau yang mengetengahkan aspek budaya dan kearifan lokal untuk memperkasakan bahasa etnik.
Pembentangan keempat bertajuk, “Kupasan modul pengajaran pembelajaran kursus elektif Bahasa Kadazandusun di UMS”, oleh Dr Henry Bating yang membahas tentang kursus-kursus yang dilaksanakan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) di UMS.
Pembentangan terakhir yang bertajuk, “Halatuju bahasa etnik di Malaysia dalam mendepani cabaran kerencaman budaya Madani” yang dibentangkan pada hari terakhir konvensyen oleh Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, memperlihatkan beberapa strategi yang boleh diusahakan untuk memeperkasakan bahasa etnik pada era yang penuh cabaran ini iaitu mengdokumentasikan budaya dan kearifan lokal melalui teknologi, intergrasi bahasa etnik dalam kurikulum pendidikan dan peranan NGO sendiri.
Dengan lebih daripada 30 kumpulan etnik di Sabah yang masing-masing mempunyai bahasa dan dialek tersendiri, konvensyen ini bertujuan untuk memberi platform kepada semua pihak dalam merangka strategi dan pendekatan terbaik bagi memartabatkan bahasa-bahasa etnik yang semakin terancam.
Pengarah JPNS, Datuk Dr. Haji Raisin Bin Saidin, dalam ucapan perasmiannya berkata, “Konvensyen Pendidik Bahasa Etnik Sabah Tahun 2024 ini adalah langkah penting dalam usaha kita untuk memelihara dan memartabatkan bahasa-bahasa etnik di negeri ini. Dengan adanya sokongan padu dari para pendidik, ahli bahasa, dan komuniti setempat, saya percaya kita dapat mengatasi cabaran globalisasi dan memastikan warisan bahasa kita kekal relevan. Usaha ini bukan sahaja penting untuk pendidikan, tetapi juga untuk membentuk identiti dan jati diri generasi muda kita.”
YBhg. Datuk juga turut menyuarakan keprihatinan berkenaan dengan pengaruh bahasa asing yang lebih popular dikalangan generasi muda berbanding penggunaan bahasa etnik sendiri yang menyebabkan keadaan bahasa etnik di Malaysia semakin terancam.
Selain membincangkan isu-isu akademik, konvensyen ini juga menjadi medan untuk membina kerjasama antara pendidik, ahli bahasa, dan komuniti setempat dalam usaha melestarikan bahasa dan budaya.
Pihak penganjur berharap kerjasama ini akan memperkuatkan jalinan antara pendidikan formal dan tradisi lisan, serta memberikan peluang kepada pelbagai pihak untuk memperkaya pengalaman pembelajaran.
Seiring dengan cabaran dalam pengajaran bahasa etnik, konvensyen ini turut memberi fokus kepada peningkatan kualiti pengajaran terutama dalam usaha meningkatkan minat pelajar dalam mempelajari bahasa etnik mereka.
Para pendidik di Sabah juga diberi peluang untuk bertukar pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkenalkan kurikulum bahasa etnik yang relevan dan berkesan di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa dalam membentuk identiti budaya sesebuah etnik.
Sementara itu, Dr Hamidah Binti Samsudin, Pengarah IPGM Kampus Kent turut menyeru agar setiap pendidik bahasa etnik terus komited memelihara bahasa etnik kerana kalau bukan guru pendidik bahasa etnik, siapa lagi yang akan memperkasakan bahasa ini, jangan sampai “Atagak Boros, Atagak Tinaru” kerana pendidik bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengajar tetapi juga untuk memastikan para pelajar mencintai dan menghargai bahasa yang mereka pelajari, katanya dimajlis perasmian penutupan konvensyen tersebut.
Para pakar bahasa dan pendidik dijangka akan mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu ini melalui perbincangan yang lebih mendalam.
Sehubungan dengan itu, peranan guru-guru amat penting dengan membiasakan murid-murid untuk bertutur dalam bahasa Kadazandusun sama ada di rumah ataupun disekolah seperti mana yang diutarakan oleh Puan Lorendah Joseph, Pegawai Meja Bahasa Kadazandusun di JPNS.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah menyatakan bahawa sebagai jabatan yang menerajui Tier 1 di IPGM Kamus Kent, tanggungjawab untuk menjaga, memelihara, meningkatkan taraf Bahasa Kadazandusun ini sememangnya memerlukan banyak usaha dan kerjasama daripada semua pihak agar identiti bahasa etnik akan dapat dilestarikan.
Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, CEO IDS menyimpulkan dalam pembentangan beliau semasa konvensyen ini bahawa bahasa etnik memerlukan usaha bersama untuk dipertahankan dan juga komitmen semua pihak sama ada golongan pendidik, pemimpin dan masyarakat serta merancang satu pelan tindakan jangka panjang untuk memerkasakan lagi usaha melestarikan bahasa etnik di Malaysia seperti mengintergrasikan bahasa etnik dengan kurikulum pendidikan.
Seseorang harus berminat dan memahami sesuatu perkara itu agar usaha untuk menarik minat sesorang untuk mempelajari bahasa etnik akan tercapai.
Malah Dr. Azlan Shafie Abdullah @ Raymond Majumah, presiden MOMOGUNSIA menyatakan bahawa Semua masyarakat bertanggungjawab untuk mendokumentasikan etnik kita dan jangan pandang rendah kepada etnik kita.
Sehubungan dengan itu, Dr. Henry Banting, Pensyarah Kanan UMS menyatakan bahawa kajian terbaru yang dijalankan oleh siswa Bahasa Kadazandusun di UMS ialah berkenaan dengan karya sastera yang akan diusahakan untuk diperkenalkan bukan sahaja di Sabah tetapi dunia.
Konvensyen yang berakhir kelmarin yang disimpulkan dengan pembentangan 12 resolusi yang menyatakan bahawa konvensyen ini menjamin impak yang tinggi dalam menyokong, mendokong dan memberdaya pendidikan bahasa etnik dalam menghadapi cabaran globalisasi oleh Dr. Sabariah Binti Burhan, Pensyarah Kanan IPGM Kampus Kent diharapkan dapat membantu meningkatkan jati diri dan kesedaran terutama dikalangan pendidik bahasa etnik untuk terus memperjuangkan usaha memperkasakan bahasa-bahasa etnik agar bahasa ini akan terus “Mogulinau miagal do butia”.



