Gambar: Janes, pelopor Walai Tobilung
Sumbangan Artikel: Profesor Madya Dr. Jurry Foo, Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.
DI SEBALIK arus pemodenan yang semakin pesat, usaha memelihara warisan budaya dan kearifan tempatan terus menjadi tanggungjawab penting masyarakat, khususnya dalam memastikan khazanah peninggalan nenek moyang tidak hilang ditelan zaman. Bagi komuniti Tobilung di Kampung Minansad, Kota Marudu, usaha tersebut diterjemahkan melalui pembangunan Walai Tobilung, sebuah pusat warisan budaya dan pelancongan komuniti yang mengangkat identiti, pengetahuan tradisional serta potensi ekonomi masyarakat setempat.
Bermula dengan aspirasi memelihara warisan masyarakat Tobilung pada tahun 2010, Walai Tobilung kini berkembang sebagai platform pendidikan budaya, pemuliharaan pengetahuan tempatan dan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti. Keunikan inisiatif ini terletak pada pendekatannya yang menjadikan masyarakat sebagai penggerak utama dalam mempertahankan warisan budaya sambil membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Usaha berterusan komuniti tersebut membuahkan hasil apabila Walai Tobilung dinobatkan sebagai Best of the Best atau Anugerah Gemilang Kearifan dalam Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB) 2026 Grand Finale yang berlangsung pada 13 hingga 14 Oktober 2026 di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Institut Kajian Pembangunan (Sabah) atau Institute for Development Studies (IDS) Sabah dengan kerjasama UMS.
Lebih membanggakan, dua inovasi yang diketengahkan oleh komuniti Walai Tobilung berjaya meraih empat pengiktirafan. Inovasi Walai Tobilung: Kearifan Tempatan bagi Keselamatan Warisan dan Kemakmuran Komuniti menerima Anugerah Emas dan Anugerah Permata Kearifan, manakala inovasi Native Herbal Trail turut memperoleh Anugerah Emas dan Anugerah Ilham Tradisi.
Pengiktirafan tersebut bukan sekadar kejayaan dalam pertandingan inovasi, sebaliknya mencerminkan kemampuan komuniti luar bandar menjadikan pengetahuan tradisional sebagai asas kepada pendidikan, pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan ekonomi yang mampan.
Menurut pengasas Walai Tobilung, Janes bin Kansirong, penubuhan pusat berkenaan tercetus daripada kesedaran tentang kepentingan melindungi warisan budaya masyarakat Tobilung agar terus dikenali dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Sejak awal penubuhannya, Walai Tobilung memberi perhatian kepada usaha mendokumentasikan dan memperkenalkan bahasa, adat resam, seni, makanan tradisional serta pelbagai bentuk pengetahuan tempatan yang mencerminkan identiti masyarakat Tobilung.
“Inisiatif ini bukan sekadar memastikan warisan budaya terus terpelihara, tetapi turut menjadikannya sumber pendidikan, tarikan pelancongan dan peluang ekonomi kepada komuniti. Kami mahu memastikan kearifan tempatan terus diwariskan dan memberikan manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam konteks pelestarian alam sekitar, inovasi Native Herbal Trail memperlihatkan bagaimana pengetahuan masyarakat tentang tumbuhan herba tempatan dapat diketengahkan melalui aktiviti pendidikan alam semula jadi dan pelancongan berasaskan pengalaman.
Melalui pendekatan ini, pengetahuan tradisional mengenai tumbuhan herba bukan sahaja diperkenalkan kepada pengunjung, malah berpotensi menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti, pendokumentasian ilmu tempatan dan pembangunan produk berasaskan sumber semula jadi.
Lebih penting, penglibatan generasi muda dalam aktiviti sedemikian dapat membantu memastikan pemindahan pengetahuan antara generasi terus berlaku. Pengetahuan yang dahulunya disampaikan secara lisan mempunyai ruang untuk didokumentasikan, dipelajari dan dimanfaatkan dalam konteks pembangunan masa kini.
Walai Tobilung juga mempunyai kedudukan istimewa sebagai salah satu Tapak Budaya Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp). Pengiktirafan ini memperlihatkan kepentingan hubungan antara masyarakat, budaya dan alam sekitar sebagai elemen yang saling melengkapi dalam pembangunan wilayah yang mampan.
Kekuatan Walai Tobilung terletak pada keupayaannya mengintegrasikan tiga komponen penting, iaitu pemeliharaan warisan budaya, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi komuniti. Gabungan tersebut membuktikan bahawa kearifan tempatan bukan sekadar peninggalan sejarah, tetapi mempunyai nilai praktikal yang boleh dikembangkan melalui inovasi dan pelancongan.
Sebelum kejayaan dalam PIKB 2026, Walai Tobilung turut menerima pengiktirafan sebagai Gold Winner Sabah Tourism Award 2026 bagi kategori Community-Based Tourism serta pengiktirafan Hentian Budaya daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Rentetan kejayaan ini menyerlahkan potensi Walai Tobilung sebagai model pelancongan komuniti yang memanfaatkan kekuatan budaya setempat tanpa mengabaikan tanggungjawab memelihara identiti dan kelestarian sumber warisan.



