Dr Wong (kedua kanan) dan lain-lain merasmikan Kebun Warga Emas Kundasang
KUNDASANG: Klinik Kesihatan Kundasang sangat komited dalam penjagaan kesihatan warga emas secara menyeluruh dan ini selari dengan Dasar Kesihatan Warga Emas Negara untuk memastikan penuaan yang sihat, aktif, dan produktif.
Pengarah Perubatan Pentadbir Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Dr Wong Yoke Kong berkata, Warga Emas merupakan aset dan tunjang pembangunan negara, justeru penjagaan kesihatan warga emas secara menyeluruh adalah penting.
“Malaysia dijangka akan mencapai status negara tua atau “aged nation” pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warga emas.
“Oleh itu, kita mengucapkan syabas kepada Klinik Kesihatan Kundasang yang sangat komited dalam penjagaan kesihatan warga emas secara menyeluruh untuk memastikan penuaan yang sihat, aktif, dan produktif,” katanya.
Dr Wong berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Warga Emas Sedunia peringkat Kundasang yang diadakan di Bangunan Warga EMas Klinik Kesihatan Kundasang baru-baru ini.
Pelbagai acara diadakan semasa sambutan tersebut termasuk ‘Funwalk’, ceramah kesihatan, ceramah penggunaan IT yang selamat, ‘Potluck’, Sesi Karaoke, dan Perasmian Kebun Warga Emas.
Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para warga emas yang sudi hadir ke Majlis Sambutan Hari Warga Emas Kundasang, dan mendoakan agar semuanya sihat, gembira, semakin aktif dan produktif.
“Majlis Perasmian Kebun Warga Emas Kundasang dilaksanakan bersempena dengan Hari Warga Emas Sedunia 2024 yang bertemakan “Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas”.
“Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Kundasang yang telah ditubuhkan sejak tahun 1998 adalah bukti sokongan kami terhadap Warga Emas.
“Kebun Warga Emas Kundasang diharapkan dapat menjadi platform warga Emas untuk sentiasa aktif dan produktif di samping bersosial bersama teman-teman,” jelas beliau.
Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Program, Dr Jamalia Kamarudin (FMS KK Kundasang), barisan AJK; Dr. Karimah Aliyah binti Mohd Saa’id, Nur Qaza Lina Raipin, Azam James, Felicia Kimbin, Saineh Basir, Laite Ambiu, Rustia Tompuling, Jumahyanti Lokiman, Sulaidieh Luhama, AJK Kelab Warga Emas, dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kundasang, Saminin @Shabudin Madali.



