ADVERTISEMENTspot_img

KKM peruntuk RM100,000 untuk ubahsuai balairaya jadi klinik sementara


BELURAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 melengkapkan balairaya Tangkarason yang akan diubahsuai sebagai klinik kesihatan sementara di kawasan itu.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib berkata, peruntukan itu adlah untuk membaiki, mengubahsuai balairaya yang dipinjamkan itu untuk menjadi klinik sementara.


Hal itu dilakukan ekoran kejadian kebakaran Klinik Kesihatan Tangkarason, Beluran yang musnah dijilat api dalam insiden yang berlaku kira-kira seminggu yang lalu.


James yang juga merupakan Adun Sugut berkata, penggunaan balairaya berkenaan sebagai klinik adalah bersifat sementara sahaja sehingga pembinaan klinik baru siap.


“Setakat ini, tanah klinik Tangkarason tidak ada masalah, sudahpun dipohon oleh KKM melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan sedikit masa lagi, pihak Jabatan Tanah dan Ukur Sabah akan mengeluarkan surat setuju untuk duduk tapak untuk pembinaan klinik tersebut,” katanya.


Beliau yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabahmenambah bahawa KKM juga telah bersetuju untuk membina bangunan klinik kesihatan yang baharu untuk menggantikan klinik yang telah musnah itu.


“Saya difahamkan juga oleh KKM bahawa projek baru menggantikan klinik yang terbakar akan menelan belanja lebih kurang RM1.3 juta termasuk pembinaan kuarters di tapak yang asal.


“Pelaksanaan diharap dapat diselesaikan dalam tahun ini juga sebab kita menunggu waran peruntukan dari KKM.


“Apabila kita perolehi sahaja waran tersebut maka kita akan melantik kontraktor secara lantikan terus iaitu untuk bencana,” kata beliau kepada media di sini pada hari Khamis.


Klinik Kesihatan Tangkarason musnah selepas insiden kebakaran yang berlaku pada tengah malam 15 Februari lalu, di mana api turut memusnahkan kuarters pekerja dalam insiden itu.


Ketua Balai BBP Beluran PPgB Edoen Macheal memberitahu tempat kejadian terletak 215 kilometer dari balai Bomba terdekat dan Klinik Kesihatan Kg Tangkarason Beluran berserta Kuarters pekerja jenis tidak kekal berkeluasan 60×30 kaki persegi terbakar 100% semasa Pasukan Bomba tiba di lokasi.


Penolong Pegawai Perubatan U29 Klinik Kesihatan Tangkarason, Melvin Edward memberitahu, penduduk kampung tersebut cuba memadamkan api tapi gagal disebabkan tiada bekalan air yang mencukupi.


Tambah beliau, disebabkan jarak yang sangat jauh dari Balai Bomba Beluran ke Klinik Kesihatan Tangkarason, pihak Bomba tidak dapat respond kes ini dengan segera, mengakibatkan klinik musnah sepenuhnya dalam api.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN