MOHD RAFI (tengah), Aisyah (empat dari kiri), Azizzudin,(tiga Dari kiri) bersama penerima bantuan peralatan bubu dan Enjin sangkut Program Peningkatan Pendapatan KKDW fasa dua di Dewan Komuniti Patau-Patau Satu.
LABUAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyalurkan peruntukan lebih RM10 juta bagi melaksanakan projek projek kecil menaik taraf kemudahan asas kampung serta bantuan peralatan untuk meningkatkan ekonomi rakyat khususnya yang berpendapatan rendah di pulau ini.
Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, peruntukan itu merangkumi pembangunan infrastruktur, pembinaan rumah dibawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bantuan untuk pengukuhan sosio ekonomi rakyat.
“Rakyat Labuan amat beruntung kerana KKDW tidak pernah meminggirkan Labuan daripada menerima pelbagai bantuan untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat”, katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Peningkatan Pendapatan yang diadakan di Dewan Komuniti Patau-Patau Satu, pada Sabtu.
Selain itu katanya, KKDW juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 lagi untuk menambah bantuan tangki air yang diperlukan oleh penduduk kampung yang masih terjejas dengan bekalan air.
Sebelum ini Kerajaan Madani melalui KKDW telahpun meluluskan peruntukan RM500,000 untuk pembelian 1000 unit tangki air yang telahpun diagihkan kepada penduduk kampung yang terjejas teruk akibat gangguan bekalan air.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO turut menjelaskan KKDW juga telah meluluskan peruntukan untuk membantu tiga perniaga yang kehilangan tempat berniaga apabila gerai ikan bakar mereka di Kampung Lubok Temiang terbakar baru baru ini.
“Saya baru saja dimaklumkan oleh KKDW bahawa tiga perniaga yang ditimpa musibah kebakaran gerai akan menerima bantuan berupa peralatan keperluan dapur.
Pada majlis itu, seramai 51 nelayan menerima bantuan dalam bentuk peralatan, 41 daripadanya menerima peralatan membuat sangkar bubu dan 10 nelayan lagi menerima bantuan Enjin sangkut di bawah Program Peningkatan Pendapatan fasa dua.
“Bantuan yang diterima oleh nelayan hari ini adalah hasil inisiatif pemimpin di peringkat akar umbi yang cakna membantu golongan nelayan yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan hasil pendapatan menerusi program tersebut” katanya.
Hadir sama, Pengarah KKDW Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Nur’Aisyah Md Norudin, Pengarah Giat MARA Negeri Sabah dan Labuan, Ts Azizzudin Aziz dan Ketua Kampung Patau Patau Satu, Fatimah Ahmad.