Rombongan KJA bergambar kenangan bersama pelatih dan tenaga pendidik PPDK Merampong.
KENINGAU: Persatuan Wartawan Keningau Sabah (KJA) menyantuni pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan seterusnya berbuka puasa bersama warga PPDK Merampong, Keningau.
Presiden KJA, Marutin Ansiung berkata, melalui aktiviti ini pengamal media tidak hanya tertumpuh kepada bidang tugas mereka iaitu menyampaikan berita yang sahih tetapi juga membantu mereka yang memerlukan.
Katanya, pada masa yang sama pengamal media juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat dan secara tidak langsung mengembangkan jaringan untuk berkerjasama pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Media bersama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Kampung Merampong di Keningau.
Turut disampaikan sumbangan barangan makanan dan kewangan kepada PPDK Merampong serta duit raya kepada pelatih PPDK Merampong.
Sementara itu Pengerusi PPDK Merampong Hajah Salbiah Suhaideh merakamkan penghargaan kepada KJA atas kunjungan ini.
Katanya, kunjungan ini adalah julung-julung kali diterima oleh PPDK tersebut.