Oleh : ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum dan agama menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas 2019 anjuran UPKO di Dewan Masyarakat Ranau di sini, hari ini.
Majlis rumah terbuka berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang itu dimeriahkan lagi dengan Pelbagai persembahan menarik termasuk nyanyian dan koir bagi menghiburkan para tetamu yang hadir.

Malah, kemunculan Santa Claus dan Santarina di tengah-tengah ribuan pengunjung turut menceriakan suasana majlis dengan beramah mesra bersama kanak-kanak sambil mengagihkan buah tangan seperti gula-gula kepada mereka.
Turut menarik perhatian ramai khususnya ratusan kanak-kanak yang hadir ialah kemunculan khas beberapa individu yang memakai kostum superhero.

Kemeriahan majlis ditambah lagi dengan kehadirin pemimpin-pemimpin tertinggi UPKO terdiri presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan isteri, Timbalan presiden, Senator Donald Peter Mojuntin, Naib presiden yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick, naib-naib presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UPKO.
Majlis itu turut dihadiri pemimpin-pemimpin tempatan, antaranya Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, Ketua Upko Ranau, Datuk Dr.Ewon Ebin, ketua-ketua parti politik beserta rombongan, pemimpin gereja, pemimpin pertubuhan NGO dan beberapa pemimpin masyarakat.

Kemuncak acara diserikan dengan upacara memotong kek Krismas beramai-ramai yang diketuai Madius, disusuli ucapan Krismas beberapa pemimpin tertinggi UPKO.
Bercakap kepada pemberita pada majlis itu, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata kehadiran pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan Krismas pada hari ini menggambarkan semangat perpaduan tinggi antara kaum di Sabah.

“Amalan (rumah terbuka) seperti ini perlu diteruskan bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum di Sabah.
“Kita akan terus menjaga perpaduan ini kerana kita tidak mahu ada unsur-unsur luar yang mahu memecah belahkan kesatuan rakyat Sabah,” katanya.
-Madius Tangau-
Pada tahun ini (2019), Ranau telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah menganjurkan Rumah Terbuka Krismas UPKO. Jawatankuasa pelaksana dipengerusikan Datuk Abidin Madingkir.
Sementara itu, Abidin dalam ucapan ringkasnya merakamkan penghargaan dan terima kasih khususnya AJK pelaksana serta semua yang terlibat menjayakan majlis berkenaan.-TAMAT-




