26 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kg Tiang Lama, Ranau Dibangunkan Di Bawah Program Kampung Sejahtera

Ewon(kiri) diiringi Abidin (kanan) semasa lawatan kerja di Kg Tiang Lama, hari ini

RANAU: Kerajaan akan membangunkan Kg Tiang Lama, Ranau di bawah Program Kampung Sejahtera, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, KPLB Sabah melalui Pejabat Daerah Ranau akan bekerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan Kerajaan bagi membangunkan program ekonomi dan infrastruktur asas di kampung itu.

“KPLB Sabah melaksanakan Program Kampung Sejahtera bertujuan untuk membangunkan kampung-kampung terpencil agar menikmati kemudahan infrastruktur asas dan ekonomi yang baik.

“Walaupun ada peruntukan khusus disediakan oleh KPLB Sabah untuk infrastruktur kecil, namun pembangunan ekonomi dan kemudahan lain banyak bergantung kepada kerjasama pelbagai agensi dan jabatan lain yang berkaitan.

“Justeru, hasil dapatan daripada Bengkel Pembangunan Kampung Sejahtera Kg Tiong Lama, Ranau yang diadakan selama dua hari akan dipanjangkan kepada beberapa kementerian, agensi dan jabatan lain khususnya berkaitan dengan potensi pembangunan ekonomi seperti pertanian dan pelancongan di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Bengkel Pembangunan Kampung Sejahtera Kg Tiong Lama, Ranau di sini, hari ini.

Kampung Tiang Lama dipilih untuk dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera kerana kedudukannya yang terpencil di daerah Ranau dan merupakan kampung ketiga yang dipilih pada tahun ini selepas Kg Tiong Baru Membakut dan Kg Tanah Merah Tungku.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau dan pihak kementerian juga mengambil inisiatif untuk menambahbaik pelaksanaan Program Kampung Sejahtera.

“Ini termasuklah kelulusan bagi kod program yang telah diluluskan untuk Belanjawan Negeri Sabah bermula tahun ini bagi Program Rumah Sejahtera, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif.

“Dengan adanya kod-kod program baharu ini dalam belanjawan kementerian, maka kita berupaya menyediakan sokongan pembangunan yang lebih baik kepada kampung-kampung yang tersenarai di bawah Program Kampung Sejahtera pada tahun depan dan seterusnya,” katanya.

Bersempena dengan lawatan ke kampung tersebut juga, Ewon turut meluluskan permohonan membina sebuah dewan serbaguna dan menyampaikan sumbangan touchpoint sebanyak RM5000 kepada MPKK Kg Tiang Lama bagi membeli beberapa kemudahan yang diperlukan untuk pentadbiran dan aktiviti komuniti.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan dan Pegawai Daerah Ranau Mohd Yassin Ibrahim.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN