Datuk Jonathan (tiga kiri) memotong reben perasmian bangunan Dewan Komuniti Kg.Nawanon diperhatikan Jemisi (dua kiri) dan tetamu yang lain. Foto: Jainuddin Nasir
Oleh: Jainuddin Nasir dan Salwah Aramat
RANAU: Warga Kg.Nawanon di sini menarik nafas lega kerana kini punyai sebuah Dewan Mini ‘Dewan Komuniti’ yang baru siap sepenuhnya menelan kos kira-kira RM150 ribu, yang perasmiannya telah disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin.
Perasmian Dewan Komuniti tersebut bertambah meriah kerana telah diserantakan dengan sambutan Natal peringkat Kg.Nawanon dihadiri ratusan penduduk setempat termasuk rombongan dari Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau yang semuanya mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengekang jangkitan pandemik Covid-19.
Datuk Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau dalam ucapannya, menyeru penduduk Kg.Nawanon supaya memanfaatkan sepenuhnya apa juga sumbangan kemudahan dan bantuan daripada kerajaan.
“Gunakanlah bangunan Dewan Komuniti ini, sepenuhnya untuk mengadakan pelbagai aktiviti atau program yang boleh mendatangkan faedah khususnya ke arah meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini”, jelas Datuk Jonathan.
Beliau juga menyarankan kepada pemimpin peringkat kampung agar menjalankan tugas dan tanggungjawab serta kerjasama sebaik mungkin dengan penduduk bagi membolehkan kerajaan melaksanakan pembangunan diperingkat kampung.

TERSERGAM INDAH…Bangunan Dewan Komuniti Kg.Nawanon Ranau. Foto: Jainuddin Nasir
“Tugas pemimpin di peringkat kampung adalah untuk memastikan masyarakat sentiasa bersatu-padu bagi mengekalkan persaudaraan sedia terjalin erat”, tegasnya.
Menyentuh perayaan Natal, Datuk Jonathan juga menyeru rakyat supaya menjadikan perayaan itu sebagai wadah memperkukuhkan persaudaraan dan toleransi tanpa membezakan agama, suku kaum dan idologi politik.
“Jadikanlah apa juga perayaan di tempat kita sebagai perayaan bersama ke arah menyatu-padukan dan mengekalkan keharmonian yang sudah kita pupuk sekian lama”, tambah Datuk Jonathan.
Terdahulu Pengerusi JPKK Kg.Nawanon yang juga Pengerusi penganjur, Jemisi Binti Sabal dalam ucapanya mewakili penduduk berterima kasi atas kehadiran Datuk Jonathan dan rombonganya ke majlis yang disifatkannya sebagai ‘Bersejarah’ kerana perasmian bagunan Dewan Mini yang sudah sekian lama ditunggu-tunggu.
“Saya mewakili penduduk Kg.Nawanon merakam penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jonathan kerana membantu penduduk di sini untuk mendapatkan peruntukan kewangan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia bagi membina sebuah Dewan Mini yang kini tersergam indah.
“Inilah antara bukti ‘Pemimpin Pejuang Rakyat’ menerusi kerajaan yang benar-benar prihatin membela nasib rakyat akar umbi.
“Namun demikian, penduduk Kg. Nawanon masih memerlukan beberapa keperluan asas seperti pendawaian elektrik yang sudah sekian lama kami tunggu.
“Adalah menjadi harapan kami penduduk Kg.Nawanon agar permohonan ini dapqt diberi perhatian yang sewajarnya,” rayu Jemisi.

Sebahahian penduduk setempat yang menghadiri majlis perasmian Dewan Komuniti Kg.Nawanon. -Foto: Jainuddin Nasir
Sempena majlis itu Datuk Jonathan turut mengagihkan ‘Angpou’ kepada golongan warga emas dan kanak-kanak Kg.Nawanon.
Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri II KDN Malaysia, Hussen Bin Haji Jirat, Setiausaha Sulit Kepada Timbalan Menteri II KDN Malaysia, Lajim Bin Haji Abd. Momen, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, Pegawai Perhubungan Parlimen (1) merangkap Ketua Wanita Parlimen Ranau, Daini Radani, Pegawai Perhubungan Parlimen (Ketua Penyelaras DUN Kundasang), Louis Sinti, Ketua Kampung (KK) Kg. Nawanon Ranau, Dony Ambag dan rombongan daripada Pejabat Parlimen Ranau.