KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kini sedang menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan berada dalam keadaan stabil.
Perkara itu disahkan Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohamed Sunoh dalam satu kenyataan media sebentar tadi.
Menurut Effendi, beliau (Hajiji) telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan didapati positif.
“Beliau sebelum ini telah secara sukarela menjalani kuarantin kendiri selama beberapa hari lalu selepas seorang kakitangan beliau didapati positif Covid-19.
“ Semasa dalam kuarantin kendiri itu, beliau telah menjalani ujian Covid-19 dan beliau didapati positif, dan oleh yang demikian beliau kini sedang menjalani rawatan dan berada dalam keadaan yang stabil,” katanya.
Tambah Effendi lagi, Hajiji masih menjalankan tugas walaupun berada dalam rawatan.
“ Beliau masih menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri menerusi panggilan telefon dan sidang video. Urus tadbir Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa,” jelasnya.