32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ketua-Ketua Jabatan juga menjadi pemimpin kesihatan: James

BERSEMANGAT …. James( tengah ) bersama labih 200 peserta senamrobik yang diadakan di Lobi, Wisma Tun Fuad Stephens, pada Sabtu


KOTA KINABALU: Ketua-Ketua Jabatan digesa agar membudayakan kesihatan sambil menjadi contoh kepada kakitangan bawahan mereka dengan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, kesihatan fizikal, mental dan emosi mesti dipromosikan oleh pihak atasan melalui amalam bersenam.


“Saya mahu memberikan pesanan bahawa hal penjagaan kesihatan bukan hanya terletak kepada kakitangan sahaja, malahan perlu saya tekankan khusus kepada Ketua-Ketua Jabatan.


“Ini kerana, aspek ‘kepimpinan melalui teladan’ juga harus ada dalam memainkan membudaya dan mempromosikan penjagaan kesihatan serta gaya hidup sihat melalui senaman,” kata beliau.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.48 Sugut berkata demikian ketika merasmikan Program Pelancaran Senamrobik KPMKR yang diadakan di Lobi, Wisma Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu pda hari Sabtu.


Dalam program itu, James mengumumkan bahawa program senamrobik itu akan dijalankan secara berterusan di kementerian pada setiap hari Isnin bermula jam 4 petang hingga 5 petang di venue yang sama.


“Untuk makluman, program pada hari ini adalah ilham saya sendiri bertujuan untuk memastikan tahap kecergasan serta penerapan amalan ke arah gaya hidup sihat dalam agenda KPMKR.


“Kementerian sentiasa komited dalam meningkatkan tahap kesihatan rohani dan jasmani terutamanya kepada warga kerja, agar ianya dapat memberi impak yang positif kepada pembangunan sahsiah serta menerapkan nilai gaya hidup yang lebih aktif dan sihat.


“Program Senamrobik yang bertemakan “Masyarakat Cergas, Rakyat Sejahtera” adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam penjagaan kesihatan dan memastikan setiap warga kerja KPMKR dapat memberi perkhidmatan serta mutu kerja dengan lebih baik kepada stake-holders,” kata beliau.


James menambah bahawa objektif program itu diadakan ialah bagi menggalakkan masyarakat mempraktikan dan mengamalkan seterusnya mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti cergas dan sihat seperti senamrobik dan sebagainya.


Selain itu, katanya, ianya secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga kerja KPMKR, jabatan, agensi, NGO dan masyarakat.


Beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir, terdiri warga kementerian KPMKR, ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan, badan-badan NGO dan juga Rombongan UPPM daripada kawasan N48 Sugut.


“Sekalung tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada jawatankuasa pelaksana kerana telah berjaya menganjurkan program pada hari ini yang saya sifatkan sangat bermakna dan bermanfaat ini.


“Usaha sebegini merupakan satu usaha yang murni kerana ianya secara langsung dapat memberi kesedaran kepada kita semua bahawa menjaga kesihatan itu sebenarnya adalah hak dan tanggungjawab bersama,” katanya.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengurusan) KPMKR, Maria David, Timbalan Setiausaha Tetap (Kesejahteraan) KPMKR, Walter Kenson, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jais Asri, Pengarah JHEWA, Hajah Haslina Ismail, Ketua-Ketua Jabatan Negeri & Persekutuan serta Agensi, Pengarah-pengarah Hospital, Jenddy Sanggau, Setiausaha Politik dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN