25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ketua Kampung, JPKK perlu melaksanakan tugas dengan baik – Johnnybone

WATIKAH…. Jonneybone menyampaikan Watikah lantikan dalam Majlis penyampaian watikah perlantikan di Dewan IPS, Telupid.

TELUPID, 11 Jan 2021 – Pemimpin peringkat akar umbi seperti Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang baharu dilantik perlu melaksanakan tugas dengan baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid Johnnybone J Kurum berkata, pemimpin berkenaan perlu membuktikan keupayaan serta tanggungjawab di kampung masing-masing.

“Anda semua perlu bersama-sama bekerja tanpa memilih fahaman politik, pastikan masalah di kampung dapat diatasi dan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya menyeru kepada anda semua agar bekerjasama dan mendengar isu-isu masalah kampung dan menyampaikan agenda kerajaan kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK di sini, semalam.

Beliau juga menasihati agar Ketua Kampung dan JPKK agar berhati-hati dan tidak salah gunakan kuasa diberikan.

Katanya, laksanakan data profile kampung dan hantar ke pejabat daerah dan ADUN kerana maklumat berkenaan akan dijadikan panduan untuk pelaksanaan agenda kerajaan.

“Apa juga permohonan yang mahu dilakukan untuk peringkat kampung haruslah dilakukan dengan menghantar surat rasmi.

“Saya yakin kerajaan yang ada sekarang mampu membantu kemajuan diperingkat kawasan masing-masing,” katanya.

Johnnybone menasihatkan kepada semua pemimpin peringkat akar umbi agar melaksanakan tugas dengan baik dan berperanan menyatupadukan rakyat selain membangunkan kampung masing-masing.

Katanya, jangan sesekali menggunakan jawatan untuk menyusahkan rakyat. Rakyat kampung juga perlu dijelaskan bahawa permohonan kelulusan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tidak terletak dalam kuasanya.

“Kelulusan permohonan PPRT adalah dibawah kuasa pejabat daerah dan agensi berkaitan, ini bukan dibawah kuasa wakil rakyat.

“Oleh itu, JPKK dan Ketua Kampung perlu memberikan penjelasan kepada orang kampung bahawa setiap pemohon perlu ada kelulusan dari E-kasih,” katanya.

Katanya, pemimpin akar umbi juga perlu melaksanakan pembangunan untuk kepentingan orang kampung dan bukannya peribadi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN