AB. RASIL (empat kiri) bersama Ketua-Ketua Kampung yang hadir dalam Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, pada Rabu.
LABUAN: Pemimpin masyarakat khususnya Ketua-Ketua Kampung di pulau ini disaran membantu kerajaan menjelaskan isu-isu semasa yang dibangkitkan diperingkat komuniti.
Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan, Ab. Rasil Hajatil berkata, jabatannya akan sentiasa membantu menyediakan maklumat maklumat yang lengkap yang diperlukan oleh Ketua Kampung.
“Kalau ada isu-isu yang dibangkitkan oleh komuniti diluar sana saya harap Ketua Kampung boleh kehadapan untuk menjelaskan isu yang dimainkan agar tidak diputar belitkan dan berpanjangan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa bersama Ketua Ketua Kampung yang diadakan di Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di sini, pada Rabu.
Sementara itu Ab. Rasil menjelaskan, program tersebut akan diperluaskan ke peringkat komuniti bagi memastikan maklumat maklumat penting dapat disebarkan terutamanya isu-isu berkaitan kepentingan masyarakat setempat.
“Kita cuba berusaha mendekati masyarakat dengan pelbagai pendekatan dan program seperti hebahan Info On Wheels (IOW) serta bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain” katanya.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Labuan itu turut dihadiri oleh wakil dari Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ewal Pengguna (KPDNHEP) dan wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Labuan yang masing-masing menyampaikan taklimat mengenai isu-isu kepenggunaan (KPDNHEP) dan taklimat mengenai Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SSM).
Pada majlis yang sama, Abdul Rasil yang juga Penasihat Persatuan Penggiat Media Labuan turut menyerahkan 76 bakul makanan untuk penduduk kampung yang terjejas banjir baru-baru ini melalui Ketua Ketua Kampung.
Bakul makanan tersebut adalah sumbangan daripada Persatuan Penggiat Media Labuan melalui Program Komuniti Wilayah.