27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kesihatan diutamakan dalam semua aspek melalui pendekatan ‘Whole of Nation’: Jonathan

Jonathan (tengah) dan lain-lain semasa Program Jelajah ANMS-SMJ dan BMSS Daerah Ranau Tahun 2024 pada hari Sabtu


RANAU: Kesihatan dijadikan keutamaan dalam semua rancangan pembangunan kerajaan dan agensi atau Health in All Policy melalui pendekatan ‘Whole of Nation’ dalam pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).


Ahli Parlimen P179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, penglibatan menyeluruh semua pihak sama ada agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan rakyat adalah penting untuk menjayakan ANMS dengan memainkan peranan masing-masing.


“ANMS adalah agenda negara di mana Kementerian Kesihatan Malaysia telah diberi tanggungjawab menerajui tadbir urus dan pelaksanaannya dengan pendekatan whole of nation.


“Ia dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, mulai tahun 2021 hingga tahun 2030, di mana ia merupakan agenda negara yang membudayakan cara hidup sihat melalui pemerkasaan rakyat dalam meningkatkan kesihatan kendiri menerusi kerjasama dengan rakan-rakan strategik kerajaan,” katanya.


Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Program Jelajah ANMS-Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Daerah Ranau Tahun 2024 yang diadakan di Dewan SMK Mat Salleh, Ranau pada Sabtu.


Tambah beliau, gabungan konsep ANMS-SMJ ini adalah tepat pada masanya memandangkan ia mengetengahkan hasrat ke arah mencapai kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental bagi rakyat Sabah.


Justeru itu, katanya program libat urus yang terbentuk dalam program kita pada kali ini melalui penglibatan daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan adalah pendekatan ANMS-SMJ.


“Dalam konteks ini, pihak kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab merangka halatuju, strategi dan inisiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan NGO adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang telah diperkenalkan.


“Pada hari ini juga, kita turut melancarkan sambutan BMSS (Wellness Month) yang mana program in merupakan satu inisiatif di bawah ANMS, KKM dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan pendekatan whole of nation.


“Wellness Month yang disambut pada bulan September setiap tahun diaspirasi untuk mengukuhkan jalinan kerjasama di antara rakan strategik, di mana semua pihak, termasuk KKM peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, bersama rakan strategik ANMS dari pelbagai agensi kerajaan lain, swasta, NGO dan komuniti akan berganding bahu dalam merancang dan melaksana program dan aktiviti pembudayaan hidup sihat secara bersepadu dan meluas demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.


Selari dengan halatuju KKM untuk beralih fokus daripada sick care (medical responsibility) kepada health care (health ownership), Jonathan berkata, sambutan Wellness Month ini menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan badan (lifestyle immunity) dalam mencegah dan melawan sebarang jangkitan dan penyakit, malah demi penuaan yang sihat (healthy aging).


Diharapkan agar menerusi Jelajah ANMS-SMJ dan BMSS ini, masyarakat akan terus mengamalkan budaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan melawan pelbagai jenis penyakit.


“Untuk makluman semua, pada masa yang sama KKM juga telah melancarkan Kempen Perangi Gula dalam kalangan masyarakat kita sebagai kesinambungan terhadap pembudayaan Hidup Sihat.


“KKM amat memandang serius tentang pengambilan gula yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang merupakan antara penyebab utama pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan,terutamanya masalah obesiti dan diabetes.


“Justeru, saya menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini untuk sama-sama membantu pihak KKM dengan mengawal pengambilan gula dalam kehidupan seharian. Ingat, satu sudu teh sudah cukup,” katanya.


Pada kesempatan itu, Jonathan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa penganjur iaitu Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran di atas usaha dalam menjayakan majlis pada hari ini.


“Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Pejabat Daerah Ranau serta agensi-agensi lain yang turut bekerjasama dalam menjayakan program ini.


“Sesungguhnya saya bagi pihak warga Ranau amat mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan yang sudi datang dari jauh melawat daerah kami ini. Selamat datang ke Daerah Ranau saya ucapkan,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN